PADA usia 56 tahun, Ajiah Hamjah membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik apabila berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Hutan dan Sains Ekosistem pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1, pada Isnin.

Lebih membanggakan, penyelidikan graduan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) itu menghasilkan dapatan penting yang berpotensi membantu memperkukuh pengurusan hutan secara lestari di Sarawak, khususnya dalam menentukan tempoh sesuai untuk penuaian pokok.

Ajiah yang berasal dari Mukah dan kini menetap di Miri menjalankan kajian terhadap 4,466 pokok daripada lapan kumpulan pokok terpilih di tiga kawasan hutan, iaitu Gerenai, Mujong-Melinau dan Lambir.

Hasil kajiannya mendapati semua kumpulan pokok yang dikaji memerlukan tempoh melebihi 25 tahun untuk mencapai saiz minimum yang dibenarkan bagi tujuan penuaian di Sarawak.

- Advertisement / Iklan -

Saiz minimum berkenaan ditetapkan pada diameter 50 sentimeter bagi pokok kumpulan Dipterokarpa, manakala 45 sentimeter bagi pokok bukan Dipterokarpa.

Tan Sri Peter Chin Fah Kui (kiri) bersama Ajiah Hamjah (kanan) pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak.
Tan Sri Peter Chin Fah Kui (kiri) bersama Ajiah Hamjah (kanan) pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang, UPM Sarawak.

- Advertisement / Iklan -

Menurut Ajiah, dapatan itu menunjukkan kadar pertumbuhan pokok berbeza mengikut kumpulan, manakala sesetengah spesies turut dipengaruhi lokasi pertumbuhannya.

“Penyelidikan ini diharapkan dapat menjadi rujukan saintifik kepada Jabatan Hutan Sarawak, pengurus Unit Pengurusan Hutan (FMU) dan pihak berkepentingan dalam memperkukuh amalan pengurusan hutan secara berkekalan.

“Maklumat ini berpotensi membantu perancangan penuaian yang lebih bersesuaian dengan kadar pertumbuhan pokok, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira data inventori, keadaan hutan dan faktor pengurusan lain,” katanya.

Anak jati Melanau itu berkata, keinginan menyumbang kepakaran kepada sektor perhutanan menjadi pendorong utama beliau melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Ajiah Hamjah (tengah) bersama suami dan anaknya ketika melihat skrol PHD yang diperoleh pada Majlis Konvokesyen ke-50, Sidang 1 UPM Sarawak.
Ajiah Hamjah (tengah) bersama suami dan anaknya ketika melihat skrol PHD yang diperoleh pada Majlis Konvokesyen ke-50, Sidang 1 UPM Sarawak.

“Gelaran PhD bukan matlamat utama, sebaliknya peluang untuk memperluas ilmu, meningkatkan keupayaan diri dan menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Mengulas cabaran sepanjang pengajian, Ajiah berkata, antara kesukaran utama ialah mendapatkan dan menganalisis data pertumbuhan pokok berdasarkan rekod inventori hutan di beberapa kawasan di Sarawak.

Katanya, kerja pengumpulan dan pengesahan data memerlukan perancangan rapi serta ketahanan fizikal kerana perlu berdepan keadaan muka bumi mencabar, cuaca tidak menentu dan lokasi kajian yang jauh di pedalaman.

“Ada masanya saya berhadapan dengan keletihan dan tekanan, namun saya sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap cabaran merupakan sebahagian daripada proses mencapai kejayaan.

“Prinsip yang saya pegang ialah jangan mudah menyerah kalah. Kejayaan bukan bermakna kita tidak pernah menghadapi kesukaran, tetapi kita tetap memilih untuk meneruskan perjuangan walaupun perjalanan itu mencabar,” katanya.

Mengimbau perjalanan akademiknya, Ajiah berkata, kejayaan bergraduat kali ini cukup bermakna kerana beliau memulakan pendidikan tinggi di universiti sama pada 1991, ketika institusi itu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia Kampus Bintulu.

Beliau turut menghargai bimbingan penyelia dan warga akademik UPM yang banyak membantu sepanjang penyelidikan, khususnya dalam analisis data, pemodelan pertumbuhan pokok dan penulisan ilmiah.

Selepas menamatkan pengajian, Ajiah berhasrat berkongsi hasil penyelidikannya dengan agensi kerajaan dan pemegang taruh bagi membantu perancangan pengurusan sumber hutan di Sarawak.

“Saya juga merancang meneruskan penulisan dan penerbitan ilmiah bagi menggalakkan kerjasama penyelidikan antara institusi akademik dengan agensi perhutanan serta menjadi pembimbing kepada pegawai muda yang berminat meningkatkan kelayakan akademik,” katanya.