Bila orang berpengalaman pun kembali jadi 'student'
PENGALAMAN selama 25 tahun dalam bidang perundangan tidak menghalang Tuan Samry Masri, 52, daripada kembali ke bangku pengajian bagi memperkukuh pengetahuan menerusi pengajian Sarjana Undang-Undang di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Kuantan pada 13 Ogos 2025 berkata, pengalaman bekerja tidak bermakna seseorang pengamal undang-undang mengetahui segala perkara dalam bidang berkenaan.
“Sebagai pengamal undang-undang, kita tidak boleh mendabik dada dan mengatakan bahawa kita mengetahui segala-galanya. Selama 25 tahun, ada cabang undang-undang yang mungkin saya tidak pernah gunakan sepanjang perkhidmatan.
“Jadi, cabarannya adalah untuk memahami sesuatu isu dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105.
Tuan Samry memulakan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM) pada 1994 sebelum memperoleh ijazah pertama pada 1998. Beliau kemudian menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan sebelum memulakan kerjaya sebagai pengamal undang-undang.
Pada 2001, beliau menubuhkan firma guamannya sendiri, Sam Masri & Associates, sebagai antara langkah penting dalam perjalanan profesionalnya sebelum dilantik ke jawatan kehakiman.
Menurut beliau, pendidikan di universiti menyediakan asas pengetahuan, namun perkembangan undang-undang menuntut pengamalnya terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Universiti cuma mengajar kita pada peringkat asas. Undang-undang ialah bidang yang sentiasa berkembang dan kita tidak akan pernah selesai belajar.
“Sebab itu saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana kerana mahu menambah pengetahuan. Kita perlu banyak belajar dan sentiasa bersedia untuk terus belajar,” katanya.
Beliau berkata, sikap rendah diri dan keterbukaan menerima ilmu baharu penting bagi memastikan seseorang terus berkembang, khususnya dalam bidang profesional yang memerlukan penelitian serta pemahaman mendalam sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Bapa kepada dua anak berusia 16 dan 10 tahun itu turut menekankan bahawa pengalaman perlu disertai kesediaan untuk menerima cabaran dan mempelajari perkara baharu.
Bagi Tuan Samry, usaha menuntut ilmu tidak terhenti selepas memperoleh kelayakan akademik atau mencapai kedudukan dalam kerjaya. Sebaliknya, pembelajaran berterusan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab untuk memperkukuh keupayaan diri dan melaksanakan amanah profesional dengan lebih baik.
