KEMUDAHAN Dapur Siswa MADANI di Kolej Sri Rajang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menjadi antara inisiatif yang membantu mahasiswa mengurangkan perbelanjaan makanan harian menerusi penyediaan makanan sendiri.

Kemudahan itu memberi peluang kepada mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan, menyediakan makanan mengikut kemampuan dan cita rasa masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada pembelian makanan di luar.

Inisiatif berkenaan turut mendapat perhatian kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi Program Dapur Siswa MADANI menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu.

Peruntukan itu melibatkan peluasan program ke politeknik dan institut pendidikan guru (IPG), termasuk penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga RM5.

- Advertisement / Iklan -

Pengetua Kolej Sri Rajang, Dr Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi berkata, Dapur Siswa MADANI merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi tumpuan kepada kebajikan mahasiswa, khususnya golongan yang memerlukan.

Pengetua Kolej Sri Rajang UPMS, Dr. Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi (tengah) bersama Ketua Felo Kolej Sri Rajang UPMS, Puan Azizah Abdul Manaf (hujung kiri), serta pelajar Kolej Sri Rajang menunjukkan juadah yang disediakan menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI.
Pengetua Kolej Sri Rajang UPMS, Dr. Tengku Sharifah Marliza Tengku Azmi (tengah) bersama Ketua Felo Kolej Sri Rajang UPMS, Puan Azizah Abdul Manaf (hujung kiri), serta pelajar Kolej Sri Rajang menunjukkan juadah yang disediakan menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan makanan, malah membolehkan mahasiswa menyediakan hidangan sendiri dalam persekitaran lebih teratur, bersih dan selamat.

“Melalui kemudahan ini, mahasiswa berpeluang menyediakan makanan sendiri dengan kos yang lebih rendah, di samping memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti penyediaan makanan lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan dapur diuruskan menerusi sistem tempahan slot selama satu jam bagi memastikan setiap mahasiswa mendapat peluang menggunakannya secara bergilir-gilir.

Katanya, sambutan menggalakkan diterima menunjukkan kemudahan berkenaan memenuhi keperluan mahasiswa, khususnya dalam membantu mereka menguruskan perbelanjaan makanan harian.

No Image Caption

Sementara itu, mahasiswa UPMS, Siti Nur Balqis Mohd Zulhisyam berkata, kemudahan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan pelajar yang perlu mengimbangi perbelanjaan harian dengan keperluan pengajian.

“Inisiatif seperti ini juga dapat membantu mahasiswa menumpukan perhatian kepada pembelajaran tanpa terlalu dibebani oleh masalah kewangan dan keperluan harian,” katanya.

Seorang lagi mahasiswa, Natasha Anak Napin berkata, kemudahan itu bukan sekadar tempat menyediakan makanan, malah memberi peluang kepadanya menikmati masakan sendiri yang mengingatkan suasana di rumah.

“Dengan adanya kemudahan ini, kami dapat memasak dengan lebih mudah dan selesa serta dapat melepaskan sedikit rindu dengan masakan orang rumah,” katanya.

Selain membantu menjimatkan perbelanjaan, penggunaan dapur secara bersama turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama rakan kolej.

Pihak kolej berharap kemudahan itu terus dimanfaatkan mahasiswa UPMS, bukan sahaja bagi mengurangkan kos sara hidup, malah menggalakkan amalan berjimat cermat, berdikari dan penyediaan makanan lebih sihat.