Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa menerusi pelancaran Pitstop HEP @ Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) serta Dapur Ehsan UiTM, inkubator keusahawanan pertama hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Inisiatif itu menggabungkan sokongan kebajikan, peluang penjanaan pendapatan dan pembangunan keusahawanan bagi memperluas peranan kampus sebagai ekosistem pemerkasaan ekonomi mahasiswa.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, usaha memperkasa kesejahteraan mahasiswa perlu melangkaui penyediaan bantuan keperluan asas dengan membuka ruang kepada mereka untuk membangunkan potensi diri dan meningkatkan keupayaan ekonomi secara berterusan.

“Kesejahteraan mahasiswa bukan sekadar memastikan keperluan asas mereka terbela, tetapi turut membuka peluang menjana pendapatan, membina kemahiran dan membentuk jiwa keusahawanan agar mereka mampu berdikari sejak di bangku universiti,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Md Fazir menerangkan produk PKPS Ehsan Marking yang akan dipasarkan ke dalam Dapur Ehsan UiTM yang sepenuhnya dioperasikan oleh mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam.
Md Fazir menerangkan produk PKPS Ehsan Marking yang akan dipasarkan ke dalam Dapur Ehsan UiTM yang sepenuhnya dioperasikan oleh mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Young Engineer Creative Centre (YECC), FKA, UiTM Shah Alam itu disempurnakan Dr. Mohd Sazili dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing, Haji Md Fazir Abdul Latif, dan Ketua Pegawai Eksekutif Ar-Rizqi Fortune, Tuan Haji Ariifien Ismail.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, kerjasama itu mencerminkan komitmen UiTM, PKPS dan pihak industri dalam memperluas peluang keusahawanan mahasiswa serta membantu mereka membina pengalaman perniagaan sejak di bangku universiti.

"Pitstop HEP merupakan antara inisiatif utama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM bagi memperkukuh kesejahteraan mahasiswa menerusi penyediaan ruang rehat, kemudahan sokongan serta akses kepada makanan dan minuman ringan secara percuma.

"Kemudahan itu khususnya membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan, sekali gus memastikan kebajikan mereka terus terpelihara," katanya.

Menurutnya, peranan Pitstop HEP kini diperluas dengan mengintegrasikan aktiviti keusahawanan dan peluang pekerjaan sambilan, selaras dengan aspirasi MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Pendekatan itu menggalakkan mahasiswa menjana pendapatan menerusi konsep earn while you learn, di samping meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan," katanya.

Pelancaran Dapur Ehsan UiTM pula menandakan satu lagi pencapaian penting apabila FKA dipilih sebagai fakulti perintis Inkubator Keusahawanan MASMED menerusi kerjasama dengan PKPS.

Operasi perniagaan itu dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa FKA di bawah bimbingan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM.

Dengan sokongan pembekalan dan pengoperasian daripada PKPS, mahasiswa diberikan tanggungjawab mengurus perniagaan sebenar yang merangkumi pengurusan stok, kewangan, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan.

Pengalaman itu bukan sahaja membentuk keyakinan dan disiplin, malah meningkatkan kemahiran membuat keputusan dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan menjadi usahawan muda.

Pendekatan berkenaan turut menyokong agenda keusahawanan UiTM dan KPT dalam melahirkan mahasiswa yang berupaya mencipta peluang pekerjaan.

Sementara itu, Kiosk We Drink yang beroperasi menerusi kerjasama Ar-Rizqi Fortune menjadi platform latihan keusahawanan khusus untuk mahasiswa daripada golongan asnaf dan keluarga B40.

Inisiatif itu menyediakan peluang pekerjaan sambilan serta latihan praktikal dalam pengendalian perniagaan minuman dan ais krim.

Menerusi bimbingan industri secara langsung, mahasiswa bukan sahaja memperoleh pendedahan kepada operasi perniagaan, malah berpeluang membangunkan jati diri keusahawanan, keyakinan, kemahiran komunikasi dan sikap berdikari sebagai persediaan menghadapi cabaran ekonomi selepas tamat pengajian.