Dari duka ke arena, Muhamad Shahban buru 3 emas para SUKMA
HASRAT atlet para olahraga Sabah, Muhamad Shaban Shahid Shaban Shah untuk menunjukkan pingat emas yang dimenangi kepada ayahnya tidak kesampaian apabila insan yang menjadi pembakar semangat itu meninggal dunia akibat strok pada Julai lepas.
Atlet berusia 17 tahun itu bagaimanapun berkata pemergian bapa menjadi pendorong untuk bangkit daripada kekecewaan dan meneruskan perjuangan bagi menunaikan janji menghadiahkan tiga emas pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Muhamad Shaban muncul juara acara 100 meter T45 (kecacatan fizikal) pada penampilan sulungnya di pentas Para SUKMA dengan catatan 13.210 saat (s).

Wakil Perak Mohammad Norfitri Abdullah meraih perak selepas mencatat 14.260s manakala atlet Selangor Muhammad Hijjaz Shaffie membawa pulang gangsa (15.340s).
Muhamad Shaban berkata, pemergian bapa sangat memberi kesan kepadanya kerana beliau sebelum ini berjanji akan membanggakan dan menunjukkan sendiri pingat yang diraihnya pada SUKMA kali ini.
"Memang ada (rasa sedih dan kecewa) sebab belum sempat mahu kasi bangga (membanggakan) ayah. Jadi, ada juga rasa sedih dan kecewa tapi saya tetap mahu teruskan usaha sebab kalau ada usaha, ada juga maknanya," katanya kepada Bernama selepas perlumbaan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Penampang itu berkata bapanya sempat mengetahui mengenai penyertaannya pada Para SUKMA dan hasratnya untuk memburu tiga pingat emas.
Muhamad Shaban berkata, janji itu dibuat ketika bapanya masih hidup, namun beliau kini perlu merealisasikannya tanpa insan berkenaan di sisi.
"Sudah janji juga tiga emas, ini baru satu. Selepas ini akan beraksi dalam acara 200m dan lompat jauh," katanya. - Bernama
