DOMINASI Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam arena sukan institusi pendidikan tinggi kembali terserlah apabila kontinjen universiti itu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

UPM menutup saingan edisi ketujuh SUKIPT dengan kutipan 35 emas, 20 perak dan 15 gangsa, sekali gus mengulangi kejayaan bergelar juara pada edisi 2022.

Pencapaian itu menyaksikan UPM mengatasi juara bertahan SUKIPT 2024, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mengumpul 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa untuk berada di kedudukan kedua.

Tuan rumah, Universiti Malaya (UM) pula melengkapkan kelompok tiga terbaik dengan 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.

- Advertisement / Iklan -

SUKIPT 2026 yang berlangsung sejak 28 Ogos hingga 6 September itu melabuhkan tirainya di Dewan Tuanku Canselor, UM, pada Ahad.

Timbalan Ketua Kontinjen UPM, Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata, kejayaan tersebut hadir di luar jangkaan apabila pihaknya tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan sebelum temasya bermula.

- Advertisement / Iklan -

“Alhamdulillah, untuk kali keempat UPM menjadi juara SUKIPT. Pada asalnya memang kita tidak menyasarkan untuk 2026 ini, disebabkan pencapaian atlet yang kita pantau menerusi kejohanan-kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Varsity Sports Championship (VSC).

“Daripada situ kita boleh membuat sedikit ramalan, tetapi kuasa Allah, akhirnya untuk SUKIPT kali ini UPM menjadi juara,” katanya.

Menurutnya, beberapa acara terus menjadi sandaran UPM dalam pemburuan pingat, termasuk hoki lelaki, hoki wanita dan bola jaring yang masing-masing berjaya muncul juara.

Tambah Muhamad Malik, olahraga turut menyumbang jumlah pingat yang signifikan apabila atlet UPM meraih 15 emas dalam acara individu.

“Kita tidak sangka pula untuk ragbi, kita kalah pada separuh akhir dan mendapat tempat ketiga. Itu memang sesuatu yang kita tidak sangka,” katanya.

Dalam pada itu, edisi kali ini turut menyaksikan 46 rekod kejohanan berjaya dipecahkan membabitkan 13 rekod dalam olahraga, 18 dalam renang dan 15 dalam memanah.

Lebih membanggakan, dua rekod kebangsaan turut berjaya diperbaharui menerusi acara kayak TK1 200 meter (m) wanita dan menembak 10m air rifle lelaki.

Sementara itu, atlet HELP University, Rodney James Darren James dan Syahida Asyiqin Rusli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2026 susulan prestasi cemerlang sepanjang temasya.

Kejayaan UPM itu sekali gus melengkapkan persaingan SUKIPT 2026 yang menghimpunkan atlet institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara dalam usaha mencungkil bakat dan melahirkan lebih ramai jaguh sukan ke peringkat lebih tinggi.