PINGAT emas yang diraih Ng Jing Xuan mungkin sudah cukup manis, namun atlet rejam lembing negara itu menambah satu lagi sebab untuk meraikan kejayaannya apabila mencipta rekod baharu Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Arena UM, Universiti Malaya (UM), pada Isnin.

Mewakili Universiti Sunway, atlet berusia 22 tahun itu menghasilkan balingan sejauh 46.92 meter (m) dalam aksi final sekali gus memadam rekod lama 44.41m milik Nur Fatin Adibah Suharman dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dicatatkan pada edisi 2016.

Namun, di sebalik kejayaan tersebut, Jing Xuan mengakui masih ada sedikit rasa terkilan apabila gagal mencapai sasaran peribadinya untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri, iaitu 52.17m.

"Sebenarnya untuk SUKIPT kali ini, sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik seperti biasa. Cuma saya ada sasaran untuk rekod kebangsaan, tetapi hari ini tiada rezeki untuk mendapatkannya.

- Advertisement / Iklan -

"Namun, saya berjaya mencipta rekod SUKIPT. Jadi, saya bersyukur juga dapat memecahkan rekod SUKIPT," katanya ketika ditemui selepas tamat saingan final acara berkenaan di sini.

Jing Xuan berkata, beliau menjalani latihan intensif selama sebulan selepas pulang daripada menyertai Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun sebagai persediaan menghadapi SUKIPT 2026.

- Advertisement / Iklan -

Katanya, berdasarkan prestasi ketika sesi latihan, beliau mengharapkan mampu menghasilkan balingan yang lebih jauh dalam saingan kali ini.

"Jadi, bila tak dapat keputusan yang saya rasa saya boleh buat, saya agak kecewa sedikit, tetapi kami terima keputusan ini," katanya.

Dalam pada itu, Jing Xuan menjelaskan perubahan jadual pertandingan pada saat akhir daripada sesi petang kepada sesi pagi turut sedikit menjejaskan rentak balingannya.

Menurutnya, perubahan berkenaan menyebabkan balingannya dirasakan agak perlahan berbanding apa yang diharapkan.

Bagaimanapun, bersempena semangat Hari Kebangsaan, Jing Xuan enggan terlalu lama kecewa dan kini mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Disember ini serta Sukan SEA tahun depan.

Beliau tekad untuk terus memberikan yang terbaik dalam kedua-dua temasya berkenaan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Dalam saingan final itu, Jing Xuan jauh meninggalkan pencabar lain untuk membawa pulang pingat emas.

Pingat perak menjadi milik Farisha Athirah Wai dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi balingan 36.21m, manakala Tai Yu Tian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih gangsa dengan catatan 32.74m.