SATU lompatan cukup untuk menamatkan penantian 12 tahun apabila atlet kebangsaan, Andre Anura Anuar mencipta rekod baharu acara lompat jauh Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dengan catatan 7.78 meter (m) di Universiti Malaya (UM), pada Isnin.

Mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), Andre Anura bukan sahaja membawa pulang pingat emas, malah memadam rekod 7.53m milik Lukman Hakim Ramlan yang bertahan sejak 2014.

Lebih menarik, catatan terbaharu itu turut menguatkan peluang Andre Anura untuk disenaraikan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 itu masih belum menganggap dirinya secara rasmi layak ke temasya berkenaan selagi senarai akhir atlet negara belum diumumkan Olahraga Malaysia (MA).

- Advertisement / Iklan -

"Saya sebenarnya sudah melepasi kelayakan ke Sukan Asia kerana jurulatih ada memberitahu bahawa jika saya boleh melakukan lompatan 7.60m, kami boleh teruskan ke Sukan Asia.

"Tetapi apa-apa pun, kami masih menunggu daripada Olahraga Malaysia. Kami pun tidak berani mengatakan sama ada sudah layak atau tidak kerana senarai pendek (atlet) masih belum dikeluarkan.

- Advertisement / Iklan -

Andre Anura bergambar selepas memenangi pingat Emas acara lompat jauh lelaki pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Universiti Malaya (UM). Foto Bernama
Andre mencatat lompatan sejauh 7.78 Meter untuk muncul juara acara berkenaan.
Andre Anura bergambar selepas memenangi pingat Emas acara lompat jauh lelaki pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Universiti Malaya (UM). Foto Bernama Andre mencatat lompatan sejauh 7.78 Meter untuk muncul juara acara berkenaan.

"Mungkin selepas kejohanan Grand Prix di Oman, mereka akan membuat pengumuman rasmi. Jadi, soal layak atau tidak, kami masih menunggu kerana buat masa ini semua masih dalam senarai panjang," katanya kepada pemberita selepas saingan tamat.

Sebelum memikirkan Sukan Asia, Andre Anura terlebih dahulu akan menguji kemampuan di Grand Prix Oman selepas dijadualkan berlepas ke negara itu pada 3 September ini.

Atlet kelahiran Sabah itu menyasarkan untuk memperbaharui catatan terbaik musimnya di Oman sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

"Selepas Oman, hanya tinggal kira-kira dua minggu sebelum Sukan Asia. Jadi, kalau boleh saya mahu mencatatkan ‘season best’ baharu dan kemudiannya mencapai kemuncak prestasi di Sukan Asia," katanya.

Bukan hanya lompat jauh, Andre Anura turut membuka kemungkinan untuk kembali beraksi dalam acara lompat kijang pada awal tahun depan bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.

"Untuk Sukan SEA tahun depan, mungkin saya akan mengambil bahagian dalam dua acara, iaitu lompat jauh dan lompat kijang, kerana kita mempunyai misi di Sukan SEA. Jadi, saya perlu memberikan komitmen dalam kedua-dua acara," katanya.

Sementara itu, pingat perak acara berkenaan menjadi milik atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhd Harith Haikal selepas melakukan lompatan 7.10m.

Pingat gangsa pula diraih wakil Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Tan Zhi Hang dengan catatan 7.00m.