BUKAN sekadar memburu pingat, Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 kembali sebagai medan mencungkil dan membangunkan bakat atlet mahasiswa untuk melangkah lebih jauh hingga ke pentas antarabangsa.

Mengangkat tema ‘Mencipta Legasi Juara’, edisi ketujuh SUKIPT yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September itu menghimpunkan 64 kontinjen daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara.

Sebanyak 20 universiti awam, 42 universiti atau institusi pendidikan tinggi swasta, sebuah politeknik dan sebuah kolej komuniti mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

Majlis perasmian yang berlangsung di UM Arena, Universiti Malaya (UM), malam ini disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dengan acara turut diserikan perarakan kontinjen, upacara menaikkan bendera kejohanan, bacaan ikrar, nyalaan obor dan persembahan kebudayaan.

Atlet pickleball UM, Muhammad Farreez Isqandar Abdul Rais, diberi penghormatan sebagai pembaca ikrar atlet, manakala obor ikonik SUKIPT dibawa secara larian berganti-ganti oleh lima atlet UM.

- Advertisement / Iklan -

Mereka terdiri daripada Nur Humaira Abdul Karim (taekwondo), Jonah Chang Anak Rigan (lontar peluru, olahraga), Nurul Aliana Syafika Azizan (berbasikal), Elena Goh Ling Yin (10 kilometer jalan kaki, olahraga) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin (badminton).

Simbolik itu mencerminkan semangat, kesatuan dan perjuangan atlet mahasiswa dalam membawa aspirasi ‘Mencipta Legasi Juara’.

No Image Caption

SUKIPT 2026 melibatkan kira-kira 10,994 individu, terdiri daripada 8,244 atlet, 2,000 pegawai dan petugas serta 750 sukarelawan.

Jumlah penyertaan itu sekali gus memperlihatkan perkembangan ekosistem sukan IPT yang semakin besar, selain mengukuhkan kedudukan SUKIPT sebagai antara platform penting pembangunan sukan dalam kalangan mahasiswa.

Lebih penting, penganjuran kali ini membawa aspirasi lebih besar apabila SUKIPT diposisikan sebagai laluan pembangunan atlet secara berterusan, bukan sekadar medan pertandingan di peringkat IPT.

Bakat yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan ke tahap lebih tinggi menerusi latihan berkualiti, kejurulatihan serta sokongan yang bersesuaian.

Pendekatan itu selari dengan hasrat melahirkan atlet mahasiswa yang mampu bergerak daripada pentas IPT ke peringkat ASEAN, Asia, Komanwel dan seterusnya Olimpik.

Dalam masa sama, pembangunan atlet turut mengambil kira keseimbangan antara keupayaan fizikal dengan kecemerlangan akademik, jati diri dan kemahiran insaniah.

Dengan tema ‘Mencipta Legasi Juara’, SUKIPT 2026 bukan hanya tentang siapa yang berdiri di podium, tetapi bagaimana bakat mahasiswa hari ini dapat dibentuk menjadi juara yang mewakili Malaysia pada masa hadapan.