KARNIVAL Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Tengah I mencipta sejarah tersendiri apabila Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori Largest Higher Education Virtual Carnival.
Pengiktirafan itu sekali gus menandakan satu pencapaian baharu dalam usaha memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat menerusi pendekatan digital.
Karnival yang berlangsung secara maya pada 16 hingga 17 Mac 2026 itu melibatkan penyertaan semua Universiti Awam Malaysia serta pelbagai agensi pendidikan tinggi dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertindak sebagai tuan rumah bagi penganjuran Zon Tengah I.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Professor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin berkata, penganjuran karnival secara maya merupakan pendekatan inovatif selaras dengan keperluan transformasi digital dalam penyampaian maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Katanya, Karnival Jom Masuk Universiti merupakan inisiatif penting Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam membantu pelajar lepasan sekolah serta ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi.
“Karnival ini membuka ruang kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi, program pengajian serta peluang yang ditawarkan oleh universiti awam, institusi pendidikan tinggi awam, MARA Bahagian Pendidikan Tinggi dan juga institusi pendidikan tinggi swasta,” katanya dalam ucapan Majlis Berbuka Puasa Bersama UiTM Sempena Karnival Jom Masuk Universiti Zon Tengah 1 (Virtual) di Kompleks Antarabangsa UiTM Shah Alam, pada Isnin.
Majlis turut dihadiri Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Mohd Najib Mohd Sarif.
Menurut Shahrin, bagi menyokong pelaksanaan karnival secara maya, UiTM turut membangunkan platform digital khas jommasuku.uitm.edu.my yang dibangunkan sepenuhnya secara in-house oleh kepakaran warga universiti berkenaan bagi memastikan pengalaman lebih interaktif kepada para pengunjung.
"Karnival JMU 2026 Zon Tengah I secara virtual pada kali ini melibatkan penyertaan 62 agensi dan institusi pendidikan tinggi yang membuka reruai maya bagi memberikan maklumat berkaitan peluang pengajian kepada para pelajar.
"Pada awalnya, pihak penganjur menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 240 reruai maya, namun sambutan menggalakkan daripada pelbagai institusi telah meningkatkan sasaran kepada 386 reruai maya sepanjang penganjuran karnival tersebut," katanya.
Menurutnya, penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti secara maya ini diharap dapat menjadi platform penting kepada para pelajar dalam membuat pilihan pendidikan tinggi yang lebih tepat.
“Kami berharap platform ini dapat membantu para pelajar membuat keputusan yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan generasi graduan yang berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.