LIMA politeknik kini melakar satu lagi pencapaian apabila menerima pengiktirafan sebagai Pusat Pembelajaran Bertauliah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 24 Februari lalu bagi melaksanakan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) menerusi inisiatif program Tekno-Huffaz.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), Dr Shamsuri Abdullah berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen POLYCC dalam menggabungkan kecemerlangan kemahiran teknikal dengan penguasaan ilmu ukhrawi dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, institusi politeknik dan kolej komuniti bukan sekadar melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah turut menitikberatkan pembentukan nilai murni, akhlak serta sahsiah yang baik dalam kalangan warga kampus.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni sempena bulan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), pada Khamis.
Lima institusi yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Pahang), Politeknik Sultan Azlan Shah (Perak), serta Politeknik Port Dickson dan Politeknik Nilai di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Shamsuri turut memaklumkan bahawa POLYCC sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan teknikal negara.
Antaranya termasuk usaha menaik taraf 10 politeknik premier menjelang 2036, memperluaskan penawaran program Ijazah Sarjana Muda bagi memenuhi keperluan sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara serta menjalankan kajian impak dan hala tuju masa depan kolej komuniti.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim.