MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se-Malaysia memandang serius penularan pelbagai kenyataan dan pandangan di media sosial yang didakwa cuba memperkecilkan, merendahkan serta mencemarkan imej universiti itu sejak kebelakangan ini.
MPP UiTM Se-Malaysia berkata, UiTM bukan sekadar sebuah institusi pendidikan tinggi, sebaliknya merupakan simbol perjuangan dalam memperkasakan pendidikan anak Melayu dan Bumiputera sejak penubuhannya pada tahun 1956.
Menurutnya, sepanjang lebih tujuh dekad, UiTM telah menjadi medan pendidikan yang membuka peluang kepada jutaan anak bangsa untuk meningkatkan taraf hidup melalui ilmu pengetahuan.
"UiTM tidak dibina atas dasar kemegahan semata-mata, tetapi berasaskan amanah perjuangan bangsa. Institusi ini telah melahirkan ramai graduan, tokoh akademik, penjawat awam, usahawan dan profesional yang menyumbang kepada pembangunan negara.
"Justeru, amat mendukacitakan apabila masih terdapat segelintir pihak, termasuk alumni sendiri, yang sanggup merendahkan institusi yang pernah menjadi tempat mereka menuntut ilmu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, sumbangan dan peranan UiTM tidak boleh dipertikaikan memandangkan universiti berkenaan kini mempunyai seramai 179,859 pelajar yang mengikuti pengajian di seluruh negara.
UiTM juga memiliki 34 kampus di setiap negeri serta menawarkan 520 program pengajian merentasi 24 fakulti dalam pelbagai bidang profesional, teknikal, saintifik, kreatif dan pengurusan.
Selain itu, universiti berkenaan telah melahirkan lebih 1.16 juta alumni, menjadikannya antara institusi pendidikan tinggi yang mempunyai komuniti graduan terbesar di negara ini.
"Secara relatif, kira-kira seorang daripada setiap 38 rakyat Malaysia merupakan alumni UiTM. Ini membuktikan peranan besar universiti ini dalam pembangunan modal insan dan mobiliti sosial masyarakat Melayu serta Bumiputera.
"Maruah dan kedudukan institusi ini bukan sahaja perlu dihormati, malah mesti terus dipelihara dan dipertahankan bersama," katanya.
Dalam pada itu, MPP UiTM Se-Malaysia turut menyeru seluruh warga universiti termasuk mahasiswa, pensyarah, kakitangan dan alumni supaya bersama-sama menjaga imej serta nama baik institusi berkenaan.
Menurutnya, ilmu perlu disertai dengan adab dan nilai yang baik kerana kecemerlangan seseorang bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kerjaya semata-mata.
"UiTM bukan sekadar tempat melahirkan individu yang berjaya, tetapi juga insan yang mempunyai integriti, nilai dan akhlak yang tinggi.
"Kami merakamkan penghargaan kepada UiTM yang terus menjadi medan perjuangan ilmu buat anak Melayu dan Bumiputera serta akan terus mempertahankan maruah institusi ini demi generasi akan datang," katanya.