KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bakal menjadi graduan pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70, Sabtu ini.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, Shamsul Azri adalah antara 7,369 graduan yang bakal diraikan pada majlis konvokesyen di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru dari 14 hingga 19 November ini.
Istiadat selama enam hari yang melibatkan 10 sesi penganugerahan itu bakal menerima keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selaku Canselor UTM serta Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM.
"Beliau adalah peserta kohort pertama program APEL.Q yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dan merit dalam sesi peperiksaan lisan (viva voce) pada 30 Ogos lepas," katanya pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-70, pada Khamis.
Mohd Shafry berkata, UTM turut merancang untuk memperluas laluan APEL.Q kepada program lain, termasuk Doktor Pendidikan, Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan serta Sarjana Pengurusan Projek, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pendidikan Tinggi.
Beliau berkata, laluan itu mencerminkan komitmen universiti untuk mengiktiraf pembelajaran daripada pengalaman profesional serta memperluas peluang pendidikan kepada masyarakat pada pelbagai peringkat kehidupan.
Sementara itu, dua lagi Pro-Canselor UTM Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Profesor Emeritus Tan Sri Mohd Zulkifli Mohd Ghazali juga akan menyempurnakan sesi penganugerahan pada istiadat berkenaan.
Daripada keseluruhan graduan, sebanyak 680 menamatkan pengajian peringkat kedoktoran, 1,614 sarjana, 4,228 sarjana muda, 778 diploma serta 69 dalam kategori diploma eksekutif dan kelayakan lain.
Sebanyak 1,176 daripada jumlah keseluruhan itu adalah graduan antarabangsa dari 48 negara, dengan China mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 459 graduan, diikuti Indonesia (107) dan Iraq (86).
Pada istiadat sama, bekas Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Alam Sekitar sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memajukan penyelidikan perhutanan dan pemuliharaan alam sekitar.
UTM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emerita kepada Academician Dr Halimaton Hamdan, bekas profesor Fakulti Sains dan penerima Anugerah Merdeka 2009 serta Profesor Emeritus kepada Dr Azlan Abdul Rahman, bekas Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.
Anugerah Pelajaran Diraja pula bakal diterima Ahmad Adam Ismail Abd Hafi dan See Li Fang manakala Fatin Syahirah Asmawi menerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah.
Mohd Shafry berkata, UTM turut merekodkan 100 peratus kadar bekerja graduan selama tiga tahun berturut-turut serta menerima Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi. - Bernama