PERBEZAAN pandangan bukan alasan untuk mengetepikan kerjasama, sebaliknya menjadi ruang untuk mahasiswa belajar berunding, mencari penyelesaian dan memperjuangkan kepentingan bersama.
Itulah antara nilai kepimpinan yang ditinggalkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sesi 2025/2026 selepas menamatkan tempoh perkhidmatan pada 13 November.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, pengalaman sepanjang setahun membuktikan peranan MPP bukan sekadar menyampaikan suara mahasiswa, malah menjadi rakan strategik universiti dalam mencari penyelesaian terhadap isu kemahasiswaan.
“Kematangan kepimpinan terserlah apabila kita memilih untuk mengangkat kesatuan, bukan membesarkan perbezaan; mencari titik persamaan, bukan memperluas jurang pertentangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khas Pembubaran MPP UiTM Sesi 2025/2026 di Budisiswa, Shah Alam.
Menurutnya, perbezaan pandangan antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan yang sihat, selagi diurus secara konstruktif dengan mengutamakan kepentingan mahasiswa dan institusi.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, barisan MPP terlibat dalam pelbagai agenda universiti termasuk program permukiman kepimpinan, penyelarasan Minggu Destini Siswa (MDS), program pembangunan mahasiswa serta wacana dan sesi libat urus bersama pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi.
Penglibatan itu memberi pengalaman kepada mereka untuk memimpin organisasi, menyelaras gerak kerja dengan pelbagai pihak, membuat keputusan strategik serta menangani isu dan cabaran kemahasiswaan.
Dalam majlis sama, Mohd Sazili turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua MPP UiTM Sesi 2025/2026, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali serta seluruh barisan perwakilan atas komitmen sepanjang menjalankan amanah.
Beliau turut mengiktiraf sokongan pengurusan universiti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), pengarah bahagian Hal Ehwal Pelajar, timbalan dekan Hal Ehwal Pelajar dan pegawai yang membantu menjayakan pelbagai agenda mahasiswa.
Mengulas hala tuju bekas barisan MPP, beliau berharap pengalaman yang diperoleh dapat menjadi bekalan untuk membentuk graduan berintegriti, profesional dan berdaya tahan.
“Hari ini saudara dan saudari melepaskan sebuah jawatan, tetapi jangan sesekali melepaskan tanggungjawab untuk terus menjadi insan yang membawa manfaat kepada orang lain,” katanya.
Pembubaran itu berkuat kuasa pada 13 November 2026 selaras dengan peruntukan Perenggan 3, Jadual Ketiga Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang menetapkan tempoh pemilihan anggota perwakilan pelajar selama satu tahun.
Berakhirnya tempoh perkhidmatan itu bukan bermakna tanggungjawab kepimpinan turut terhenti.
Sebaliknya, pengalaman dan nilai yang dibawa sepanjang berada dalam MPP diharap terus menjadi bekalan untuk mereka menyumbang kepada masyarakat dan negara.