Dari hutan ke gelanggang debat, Tunas Satria bentuk pemimpin mahasiswa

- Advertisement / Iklan -

MERENTAS hutan, menyeberangi sungai dan mempertahankan hujah dalam perdebatan menjadi antara pengalaman mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Program Tunas Satria Siri 2 yang berlangsung di Kem Permata Resort, Melaka, baru-baru ini.

Berlangsung selama tiga hari dua malam, baru-baru ini, program itu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal dan keberanian, malah memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan disiplin diri, kepercayaan dan kerjasama dalam menghadapi cabaran.

Menariknya, program berkenaan dikendalikan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam yang diterajui Yang Dipertuanya, Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali, dengan bimbingan serta penyeliaan staf Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Shah Alam.

Pendekatan itu memberi peluang kepada pemimpin mahasiswa memperoleh pengalaman mengurus program, menyelaras aktiviti dan menjaga kebajikan peserta, manakala peserta lain mengikuti latihan yang dirangka bagi membina keyakinan serta kemahiran bekerja dalam pasukan.

- Advertisement / Iklan -

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah merentas hutan, latihan mengatasi halangan, latihan keyakinan di air dan menyeberangi sungai yang memerlukan peserta berkomunikasi, membuat pertimbangan serta membantu antara satu sama lain bagi menyelesaikan tugasan berkumpulan.

- Advertisement / Iklan -

Bagi mahasiswa semester tiga Fakulti Undang-Undang UiTM, Muhammad Raif Rafizi bin Ahmad Nizan, pengalaman itu memberikan pengajaran yang melangkaui aktiviti perkhemahan biasa.

“Program ini mengajar peserta dua perkara, iaitu pengurusan diri seperti disiplin dan ketepatan masa, serta kerjasama berkumpulan.

“Pemimpin hebat tidak lahir daripada keselesaan, tetapi daripada cabaran yang dihadapi,” katanya.

Selain cabaran fizikal, mahasiswa turut mengikuti aktiviti Debat Mahasiswa serta Adab dan Ilmu Pengucapan Awam bagi mengasah kemahiran berhujah, menyampaikan pandangan dan berkomunikasi secara berhemah.

Menerusi aktiviti perdebatan, peserta perlu menyusun hujah dan mempertahankan pendirian, di samping belajar menghormati pandangan berbeza, manakala latihan pengucapan awam memberi tumpuan kepada pembinaan keyakinan dan kejelasan penyampaian ketika berhadapan khalayak.

Program itu turut mendapat perhatian apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Akmal Zharif Ahmad Kamal hadir berdialog dengan peserta mengenai harapan dan cabaran kepimpinan generasi muda.

Sesi berkenaan menyediakan ruang kepada mahasiswa mengemukakan pandangan serta membincangkan tanggungjawab pemimpin muda dalam menghadapi perubahan dan memenuhi keperluan masyarakat.

Majlis penutupan program disempurnakan Pengarah IKP UiTM, Dr. Firdaus Mohamad.

Penganjuran Tunas Satria Siri 2 memperlihatkan peluang kepada mahasiswa memikul tanggungjawab melaksanakan program pembangunan kepimpinan dengan sokongan pihak universiti.

Bagi barisan MPP, pengalaman memimpin bermula menerusi tanggungjawab mengendalikan program, manakala peserta memperoleh pengajaran melalui setiap cabaran yang menuntut disiplin, keberanian dan kerjasama.

Kedua-dua pengalaman itu menjadi bekalan penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja mampu menyuarakan pandangan, malah bersedia memikul amanah dan bertindak demi kepentingan bersama.