UTHM kenal pasti 56 spesies hidupan liar, perkukuh keselamatan penerbangan

- Advertisement / Iklan -

SEBANYAK 56 spesies hidupan liar, terdiri daripada 46 spesies burung dan 10 spesies mamalia, dikenal pasti menerusi kajian pengurusan risiko hidupan liar di Lapangan Terbang Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Tanjung Laboh.

Penemuan itu menjadi asas saintifik untuk mengenal pasti potensi ancaman hidupan liar terhadap keselamatan penerbangan, khususnya risiko perlanggaran pesawat dengan hidupan liar (wildlife strike), selain menyokong pembangunan strategi mitigasi yang sistematik dan berasaskan data.

Kajian pertama seumpamanya di lapangan terbang berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Pejabat Pengurusan Tanjung Laboh (PPTL), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Senai Airport Terminal Services (SATS).

Kajian itu turut menyediakan data asas bagi pembangunan Pelan Pengurusan Bahaya Hidupan Liar (Wildlife Hazard Management Plan, WHMP) yang komprehensif.

- Advertisement / Iklan -

Menerusi pemerhatian dan pengumpulan data lapangan, penyelidik mengenal pasti spesies yang berpotensi menjejaskan pergerakan pesawat serta keselamatan operasi aerodrom.

Seramai 11 pelajar UTHM turut terlibat dalam pemerhatian di beberapa lokasi sekitar lapangan terbang di bawah bimbingan penyelidik FAST dan FKMP, sekali gus memberi pendedahan kepada mereka mengenai aplikasi ilmu biodiversiti dalam industri penerbangan.

- Advertisement / Iklan -

Penglibatan itu juga memperkukuh konsep lapangan terbang sebagai living laboratory untuk penyelidikan dan pembelajaran berasaskan industri.

Sebagai kesinambungan kajian, UTHM menerusi kerjasama PPTL dan FAST menganjurkan Bengkel Wildlife Hazard Management pada 12 Mei 2026.

Bengkel itu melibatkan PERHILITAN menerusi wakil ibu pejabat dan Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Nature Sustainable Ecosystem Society (NEST) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada pengesahan spesies, penilaian tahap risiko dan pembangunan langkah mitigasi yang bersesuaian dengan persekitaran lapangan terbang.

Antara pencapaian utama bengkel itu ialah pembangunan pelan mitigasi awal bagi mengurangkan risiko wildlife strike, sekali gus membantu pihak pengurusan merancang pemantauan, pencegahan dan kawalan hidupan liar secara proaktif sebelum operasi bermula.

Bengkel itu turut menampilkan perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan hidupan liar, keselamatan lapangan terbang, pengurusan konservasi serta perundangan berkaitan hidupan liar.

Perkongsian daripada dua penceramah yang mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam pengurusan hidupan liar dan keselamatan lapangan terbang serta lebih 22 tahun dalam bidang konservasi dan perundangan itu memberi penekanan kepada pendekatan praktikal pengurusan risiko, pematuhan perundangan dan pemuliharaan habitat secara mampan.

Ketua projek, Profesor Madya Ts. Dr. Nur Kamilah Yusuf berkata, pengurusan bahaya hidupan liar merupakan aspek penting dalam memastikan kesiapsiagaan keselamatan sesebuah lapangan terbang.

Menurut beliau, keselamatan penerbangan bukan sahaja bergantung pada infrastruktur dan teknologi, malah memerlukan pemahaman menyeluruh terhadap persekitaran operasi, termasuk kehadiran hidupan liar yang berpotensi menyebabkan wildlife strike.

“Pendekatan berasaskan penyelidikan saintifik dan kerjasama pelbagai agensi membolehkan strategi pengurusan risiko dilaksanakan secara sistematik, praktikal dan mampan, sekali gus membuktikan keupayaan kepakaran akademik UTHM menghasilkan penyelesaian kepada keperluan industri penerbangan,” katanya.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik UTHM dalam mempersiapkan Lapangan Terbang UTHM Batu Pahat yang disasarkan mula beroperasi pada Jun 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Dapatan kajian dan pelan mitigasi awal berkenaan akan menjadi rujukan penting dalam penyediaan WHMP bagi menyokong keselamatan operasi aerodrom serta pembangunan ekosistem penerbangan yang selamat dan mampan.