BERMULA tanpa asas dalam animasi 2D, pasangan kembar seiras Ahmad Arif dan Ahmad Afiq membuktikan kesungguhan serta usaha berterusan mampu membawa mereka daripada tidak tahu kepada menguasai bidang yang dipelajari.

Graduan Kolej Komuniti Segamat itu mengakui perjalanan mereka bukan mudah, terutama ketika perlu memahami topik baharu yang memerlukan usaha lebih untuk dikuasai.

Bagi memastikan pelajaran tidak ketinggalan, kedua-duanya memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk mengulang kaji, selain menjadikan YouTube dan Google sebagai rujukan tambahan serta mendapatkan bimbingan pensyarah.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

“Perjuangan ini memang tidak mudah kerana kami sangat ‘struggle’ untuk memahami sesuatu topik. Namun, cabaran itu kami jadikan sebagai pembakar semangat, ditambah pula dengan sokongan para pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.

“Pada masa sama, kami turut mendapatkan tunjuk ajar senior serta memanfaatkan aplikasi ChatGPT bagi membantu memahami topik yang sukar,” kata mereka ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2026 di Politeknik Premier Port Dickson.

- Advertisement / Iklan -

Anak kelima dan keenam daripada enam beradik itu masing-masing berusia 21 tahun dan berasal dari Batu Pahat, Johor.

Bagi mereka, kejayaan menamatkan pengajian bukan sekadar meraikan pencapaian akademik, malah membuktikan bahawa kekurangan pengetahuan pada permulaan bukan alasan untuk berhenti mencuba.

Dalam majlis sama, seorang lagi graduan, Nur Fatiha Abdullah, 22, dari Kolej Komuniti Bandar Penawar, turut mencuri perhatian apabila hadir meraikan kejayaan dalam keadaan sarat mengandung lapan bulan.

No Image Caption

Anak jati Kota Tinggi itu berkata, pesanan nenek yang menjadi penjaga tunggalnya sentiasa menjadi sumber kekuatan untuk menghadapi cabaran sepanjang kehidupan.

“Nenek selaku penjaga tunggal selalu mengingatkan saya bahawa kekurangan bukan penghalang, sebaliknya cabaran untuk terus melangkah,” katanya.

Menurut Nur Fatiha, sokongan berterusan daripada rakan-rakan dan pensyarah turut membantunya mengharungi perjalanan pengajian sehingga berjaya menamatkannya.

No Image Caption

Kini, beliau bekerja sebagai pembantu pemasaran digital (Digital Marketing Assistant) di Lotus Desaru Beach Resort & Spa, Pengerang.

Mengimbas cabaran yang dihadapi, Nur Fatiha berkata, antara perkara paling sukar ialah berjauhan dengan suaminya yang merupakan warganegara Singapura dan menetap di negara itu.

Kisah tiga graduan berkenaan mewarnai Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor 2026 yang menyaksikan seramai 855 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing.