Jerebu: Jangan biarkan 'esok sekolah atau tak' jadi persoalan setiap hari
SETIAP kali jerebu melanda, satu persoalan yang sering bermain di fikiran ibu bapa ialah: “Esok sekolah atau tidak?”
Bagi sesetengah orang, ia mungkin kelihatan seperti persoalan biasa.
Tetapi bagi ibu bapa, guru dan murid, keputusan tersebut berkait rapat dengan kesihatan, keselamatan, perjalanan harian dan kesinambungan pembelajaran.
Jerebu bukan sekadar fenomena langit yang kelihatan berkabus.
Ia adalah isu alam sekitar yang mempunyai implikasi langsung terhadap kesihatan awam, pendidikan dan kehidupan seharian masyarakat.
Dalam menghadapi situasi seperti ini, Malaysia sebenarnya mempunyai Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang menyediakan kerangka tindakan dan penyelarasan antara agensi berkaitan.
Ini penting kerana pengurusan jerebu memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor kesihatan, pendidikan, pihak berkuasa tempatan, komuniti dan institusi penyelidikan.
Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan membuat keputusan lebih awal berdasarkan perkembangan keadaan cuaca dan kualiti udara.
Jerebu bukan sekadar angka IPU
Apabila jerebu berlaku, perhatian kita lazimnya tertumpu kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU). Bacaan tersebut sememangnya penting kerana ia membantu orang ramai memahami tahap kualiti udara dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Namun, dari sudut kesiapsiagaan, kita juga perlu melihat faktor lain seperti titik panas, keadaan cuaca, arah dan kelajuan angin, kelembapan serta kemungkinan pergerakan asap.
Dengan kemajuan teknologi, pelbagai sumber data ini boleh digunakan secara bersama untuk membantu memahami bukan sahaja keadaan udara hari ini, tetapi kemungkinan keadaan pada hari berikutnya.
Pendekatan sebegini membolehkan kita bergerak daripada hanya bertindak apabila keadaan menjadi buruk kepada bersedia berdasarkan risiko yang dijangka.
Anak-anak kita perlu menjadi keutamaan
Dalam setiap episod jerebu, golongan yang paling memerlukan perhatian ialah mereka yang lebih mudah terkesan, termasuk kanak-kanak.
Murid menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sekolah. Apabila kualiti udara merosot, aktiviti luar mungkin perlu disesuaikan dan langkah perlindungan tambahan mungkin diperlukan mengikut keadaan.
Bagi murid yang mempunyai masalah pernafasan, perhatian yang lebih khusus juga penting.
Sebab itu apabila ibu bapa bertanya “Esok sekolah atau tidak?” sebenarnya mereka bukan sekadar mahu mengetahui status sekolah.
Mereka mahu tahu bagaimana untuk memastikan anak mereka selamat. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengatur perjalanan, penjagaan anak dan rutin keluarga sekiranya sekolah ditutup.
Guru pula memerlukan masa untuk membuat persediaan sekiranya kaedah pembelajaran perlu disesuaikan. Justeru, komunikasi yang jelas dan maklumat yang tersedia lebih awal amat penting.
Kesiapsiagaan tidak semestinya bermaksud sekolah ditutup. Apabila keadaan udara merosot, penutupan sekolah bukanlah satu-satunya bentuk tindakan. Kita boleh mempunyai pendekatan mengikut tahap risiko. Apabila keadaan mula merosot, aktiviti luar boleh dikurangkan.
Jika keadaan bertambah buruk, langkah perlindungan kepada murid boleh dipertingkatkan.
Dan apabila keadaan mencapai tahap yang memerlukan penutupan, pihak sekolah dan ibu bapa boleh membuat persediaan berdasarkan panduan yang telah ditetapkan.
Dengan cara ini, pengurusan jerebu tidak hanya dilihat sebagai persoalan “sekolah buka atau tutup”, tetapi sebagai satu proses melindungi kesihatan murid sambil memastikan pendidikan dapat diteruskan sejauh yang selamat.
Kita perlu bergerak daripada reaktif kepada lebih bersedia
Jerebu juga mengingatkan kita bahawa perubahan iklim dan corak cuaca perlu diambil kira dalam perancangan jangka panjang. Cuaca panas dan kering boleh meningkatkan risiko kebakaran, manakala keadaan angin mempengaruhi pergerakan asap.
Oleh itu, usaha menangani jerebu perlu merangkumi pencegahan, pemantauan dan kesiapsiagaan.
Pengurusan kawasan gambut, pencegahan pembakaran terbuka, pemantauan kawasan berisiko tinggi serta kesedaran masyarakat semuanya memainkan peranan.
Dalam masa yang sama, teknologi satelit, data meteorologi dan sistem pemantauan kualiti udara boleh membantu kita membuat persediaan dengan lebih baik.
Kita tidak perlu menunggu sehingga keadaan menjadi kritikal untuk mula bertindak.
Jerebu tidak mengenal sempadan
Satu lagi realiti yang perlu kita fahami ialah asap tidak mengenal sempadan politik. Pergerakan asap dipengaruhi oleh keadaan atmosfera dan angin.
Justeru, kerjasama serantau dan perkongsian maklumat amat penting dalam menangani episod jerebu yang merentasi sempadan negara.
Pada peringkat tempatan pula, masyarakat juga mempunyai peranan - daripada mengelakkan pembakaran terbuka hingga melaporkan kebakaran dan mematuhi nasihat kesihatan apabila kualiti udara merosot.
Daripada “esok sekolah atau tidak?” kepada “kita sudah bersedia”
Setiap kali jerebu berlaku, kita mungkin tidak mampu mengawal bila kebakaran berlaku atau ke mana asap akan bergerak. Tetapi kita boleh mengawal sejauh mana kita bersedia menghadapinya.
Malaysia telah mempunyai kerangka dan mekanisme untuk menangani jerebu.
Dengan perkembangan teknologi dan keupayaan data yang semakin baik, kita mempunyai peluang untuk terus memperkukuh sistem tersebut agar tindakan dapat dibuat dengan lebih pantas, terancang dan berasaskan maklumat.
Bagi ibu bapa, guru dan murid, kesiapsiagaan ini amat bermakna. Kita tidak mahu setiap malam menjadi masa untuk tertunggu-tunggu satu pengumuman: “Esok sekolah atau tidak?”
Kita mahu sampai ke tahap di mana sekolah, ibu bapa dan komuniti mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat persediaan lebih awal.
Kerana akhirnya, matlamat kita bukan hanya untuk menangani jerebu apabila ia berlaku.
Matlamat kita adalah memastikan anak-anak kita kekal selamat, sihat dan terus mendapat pendidikan dalam persekitaran yang semakin berhadapan dengan cabaran cuaca dan iklim yang tidak menentu.
* Dr. Nur Azalina Suzianti Feisal ialah Ketua Pusat Strategi dan Daya Tahan Iklim, MSU
