TANGGUNGJAWAB menjaga ibu yang menjalani rawatan dialisis tidak menghalang Nur Fathiah Hanani Suhaibi, 21, menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan cemerlang sehingga meraih Anugerah Rektor pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, pada Sabtu.

Anak jati Kuala Terengganu itu melalui perjalanan panjang untuk mencapai kejayaan berkenaan selepas dibesarkan sepenuhnya oleh ibu tunggalnya susulan perceraian ibu bapanya ketika beliau berusia dua tahun.

“Jujur berkata, saya tidak pernah mengimpikan untuk menerima Anugerah Rektor ini, apatah lagi saya hanya pelajar diploma dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Apa yang saya fikirkan adalah untuk menamatkan pengajian sepenuhnya demi masa depan saya.

“Pernah terfikir untuk menyambung pengajian di tempat lain, namun memikirkan kasih kepada ibu, saya memilih UC TATI supaya dapat berada dekat dengannya.

- Advertisement / Iklan -

“Kini, saya sudah menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang sama dan masih berpeluang memberikan perhatian kepada ibu,” katanya.

Nur Fathiah Hanani Suhaibi (kiri) bersama adik-beradik dan ibunya, Noryati Mohamed, yang berkerusi roda pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman, Terengganu.
Nur Fathiah Hanani Suhaibi (kiri) bersama adik-beradik dan ibunya, Noryati Mohamed, yang berkerusi roda pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman, Terengganu.

- Advertisement / Iklan -

Nur Fathiah yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkata, beliau menyimpan impian untuk memiliki perniagaan dalam bidang penjagaan kanak-kanak pada suatu hari nanti.

Selain cemerlang dalam pengajian, beliau turut aktif menyertai pelbagai aktiviti dan program di kolej serta melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Terengganu.

Penerima Anugerah Rektor, Nur Fathiah Hanani Suhaibi (barisan belakang, dua dari kiri) bersama graduan penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman, Terengganu.
Penerima Anugerah Rektor, Nur Fathiah Hanani Suhaibi (barisan belakang, dua dari kiri) bersama graduan penerima anugerah pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26 di Kemaman, Terengganu.

Penglibatan berkenaan menjadi nilai tambah kepada pencapaiannya sehingga berjaya merangkul anugerah berprestij itu.

Nur Fathiah menamatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang sama di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Terengganu.

Pada Majlis Konvokesyen UC TATI ke-26, beliau menerima Anugerah Rektor yang disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Datuk Ir. Kamaluddin Abd Rashid bersama-sama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.