PENGLIBATAN aktif dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan sukan tidak menghalang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) mencapai kecemerlangan akademik, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka meraih pengiktirafan sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Tahun 2026.

Seramai 16 graduan turut menerima anugerah dan hadiah peringkat universiti atas kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, keusahawanan dan penyelidikan.

Antara penerima yang hadir pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026 bagi menerima anugerah dan hadiah peringkat universiti atas kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, keusahawanan dan penyelidikan.
Antara penerima yang hadir pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026 bagi menerima anugerah dan hadiah peringkat universiti atas kecemerlangan dalam bidang akademik, kepimpinan, kokurikulum, keusahawanan dan penyelidikan.

Antara penerima ialah Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil, 23, graduan Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian yang menerima Anugerah Canselor, manakala Nur Alia Sofiah Muhamad Azuan, graduan Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian menerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi kategori Bumiputera.

- Advertisement / Iklan -

Anugerah Pelajaran Diraja bagi kategori Bukan Bumiputera pula diberikan kepada Lye Kemin, 33, graduan Bacelor Sains Bioperubatan dengan Kepujian.

Turut menerima pengiktirafan ialah Nurul Ashikin Abas, 26, graduan Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian yang dianugerahkan Pingat Emas Razlan Putra, serta Dr. Husain Murat, graduan Doktor Falsafah (PhD) Fizik Perubatan yang menerima Hadiah Kecemerlangan Penyelidikan (PhD) All Cosmos Industries.

- Advertisement / Iklan -

Ahmad Danish, 23, berasal dari Melaka berkata, sepanjang empat tahun pengajian, beliau aktif dalam kepimpinan, sukan dan program berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), termasuk menganjurkan aktiviti pembelajaran secara praktikal untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja dilaksanakan di pelbagai lokasi di Malaysia, malah turut diperluas ke Malang, Jakarta dan Thailand bagi menarik minat generasi muda terhadap bidang STEM.

Beliau turut aktif dalam sukan silat olahraga dan skuasy, selain pernah memegang jawatan Presiden Kelab MySTEM Ambassador UPM selama dua sesi serta terlibat dalam Majlis Perwakilan Kolej menerusi Sekretariat Sukan dan Sekretariat Teknologi Hijau.

Lebih bermakna, kejayaan menerima Anugerah Canselor membolehkannya merealisasikan hasrat sejak sekolah rendah untuk membawa ibu bapanya naik ke pentas.

"Sejak sekolah rendah lagi, saya teringin nak bawa mak ayah saya naik atas pentas. Alhamdulillah, kali ini saya dapat bawa mereka naik pentas," katanya ditemui selepas sidang media sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 Tahun 2026 pada Jumaat.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, perancangan masa menjadi kunci untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dengan penglibatan dalam aktiviti universiti.

Katanya, beliau akan mengurangkan penyertaan dalam program kira-kira dua minggu sebelum peperiksaan bagi memberi tumpuan kepada pengajian, selain memastikan aktiviti dirancang tidak bertembung dengan jadual akademik.

Hasil perancangan itu, beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun sembilan bulan.

Sementara itu, Lye, 33, berasal dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang berkata, penglibatannya dalam kepimpinan, kokurikulum dan kesukarelawanan sepanjang empat tahun pengajian membuka peluang untuk meneroka bidang di luar latar belakang akademiknya.

Lye Kemin. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID
Lye Kemin. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

Antara pengalaman paling bermakna ialah ketika memegang jawatan Naib Presiden Pembangunan Perniagaan sebuah kelab di UPM, walaupun tidak mempunyai asas dalam bidang perniagaan dan komunikasi.

Menurutnya, pengalaman itu membantunya membina keyakinan diri serta membuktikan kesungguhan mencuba perkara baharu mampu membuka peluang untuk mencapai kejayaan.

Dalam mengimbangi akademik dan aktiviti luar bilik kuliah, Lye menggunakan Google Calendar untuk menyusun jadual, menetapkan keutamaan harian serta merancang tugasan lebih awal, khususnya menjelang minggu peperiksaan.

Beliau yang kini bekerja sebagai pelatih pengurusan di Trip.com turut menyatakan minat untuk terus meneroka bidang kesukarelawanan, alam sekitar, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pendidikan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Nurul Ashikin, 26, berkata, komitmennya sebagai atlet olahraga memerlukan pengurusan masa dan tenaga yang baik kerana perlu menjalani latihan pada waktu pagi dan petang, selain menghadiri kelas serta mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

Nurul Ashikin Abas. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nurul Ashikin Abas. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

Anak kelahiran Perak itu turut berdepan cabaran kecederaan sepanjang bergelar atlet di universiti, termasuk menjalani pembedahan pada bahagian lutut baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan Pingat Emas Razlan Putra sebagai pengiktirafan terbesar pernah diterimanya dan bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian.

Nurul Ashikin yang pernah menyertai Sukan SEA sebanyak dua kali turut mencatat pencapaian dalam acara olahraga, termasuk meraih dua pingat emas pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUPMA) di Kuala Lumpur pada 2018.

Beliau berkata, selepas tamat pengajian, perancangannya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekiranya berpeluang, selain menantikan tawaran untuk berkhidmat sebagai guru.

Sementara itu, Dr. Husain Murat, 42, berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Pasir Gudang, Johor berkata, penyelidikan PhD dalam bidang Fizik Perubatan yang dijalankannya berkait rapat dengan tugas hakikinya sebagai pegawai sains fizik atau ahli fizik perubatan di Jabatan Perubatan Nuklear, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Dr. Husain Murat. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID
Dr. Husain Murat. - Foto Sinar Harian oleh MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau yang turut mengetuai Unit Perlindungan Sinaran hospital berkenaan menjalankan kajian berkaitan pengoptimuman dos radiasi dan keselamatan sinaran terhadap pesakit yang menjalani prosedur pengimejan PET scan, khususnya bagi membantu diagnosis pesakit kanser.

Menurutnya, perkembangan teknologi dalam bidang perubatan nuklear meningkatkan keperluan penyelidikan berkaitan risiko dan keselamatan radiasi bagi memastikan prosedur pemeriksaan pesakit dilaksanakan dengan lebih baik.

Kajian yang dijalankan selama tiga tahun itu turut melibatkan kerjasama Institut Kanser Negara, Kementerian Kesihatan dan UPM.

"Untuk mencapai sesuatu matlamat, kita perlu mempunyai komitmen dan semangat yang tinggi. Matlamat yang jelas akan membawa kita ke hala tuju yang betul walaupun terdapat cabaran dan rintangan," katanya ketika berkongsi nasihat kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian.

Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 Sidang 2 berlangsung selama tujuh hari bermula 30 November hingga 6 Disember 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, dengan seramai 6,443 graduan diraikan.

Daripada jumlah itu, seramai 846 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,841 graduan Ijazah Sarjana, 3,741 graduan Ijazah Bacelor dan 15 graduan Diploma.

Terdahulu, seramai 619 graduan diraikan pada Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) pada 2 hingga 3 November lalu, menjadikan jumlah keseluruhan graduan bagi konvokesyen tahun ini seramai 7,062 orang.

Konvokesyen kali ini turut meraikan 1,045 graduan daripada program pengajian berkaitan pertanian, selain melahirkan 19 graduan sulung program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian, sejajar dengan usaha UPM memperkukuh bidang pertanian menerusi penggunaan teknologi moden, automasi dan pendigitalan.