PEMBINAAN sistem takungan air bawah tanah merupakan antara langkah jangka panjang yang dicadangkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menangani masalah banjir berulang di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.

Pendekatan berasaskan teknologi itu membolehkan lebihan air hujan dikumpulkan di dalam tangki takungan bawah tanah sebelum disalurkan keluar dari kawasan kampus, sekali gus mengurangkan risiko air bertakung di permukaan tanah.

Naib Canselor UMK, Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata, cadangan berkenaan merupakan antara hasil kajian universiti itu dalam usaha mencari penyelesaian yang lebih berkesan terhadap masalah pengurusan aliran air di kawasan terbabit.

Menurutnya, kawasan padang berhampiran asrama pelajar dikenal pasti sebagai lokasi yang berpotensi untuk pembinaan sistem takungan berkenaan.

- Advertisement / Iklan -

"Antara cadangan kami ialah mewujudkan pusat pengumpulan air di bawah tanah dengan menyediakan tangki takungan di kawasan tertentu supaya air dapat dikumpulkan terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dari kawasan kampus.

"Kita telah mengenal pasti satu kawasan padang berhampiran asrama yang berpotensi dibangunkan untuk tujuan itu, namun pelaksanaannya memerlukan peruntukan kewangan yang besar serta kawasan bersesuaian," katany, baru-baru ini.

- Advertisement / Iklan -

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr Arham Abdullah (kanan) meninjau kawasan kampus universiti itu bersama pegawai UMK sebagai sebahagian usaha mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir berulang di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.
Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr Arham Abdullah (kanan) meninjau kawasan kampus universiti itu bersama pegawai UMK sebagai sebahagian usaha mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir berulang di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.

Arham berkata, hasil kajian itu akan dikongsi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperincikan langkah penyelesaian jangka panjang, termasuk kemungkinan mengemukakan cadangan berkenaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam pada itu, pengalaman berdepan dengan banjir sehingga menyebabkan lebih 500 pelajar dipindahkan ke Kampus Bachok tahun lepas mendorong UMK mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Arham berkata paras air ketika kejadian banjir tahun lepas mencecah paras pinggang susulan masalah teknikal pada pam serta gangguan bekalan elektrik di kawasan Taman Bendahara.

Bagi menghadapi kemungkinan kejadian itu berulang, UMK menyediakan tujuh unit pam berbanding enam unit tahun lepas, membabitkan lima pam elektrik dan dua pam diesel bagi mempercepat proses mengepam keluar air yang bertakung di kawasan kampus.

UMK turut mendapat kerjasama JPS Kelantan untuk mendalamkan dan membersihkan tali air berhampiran kampus bagi memastikan aliran air keluar lebih lancar.

Selain itu, benteng banjir setinggi satu meter dan pintu kawalan banjir dipasang di sekeliling bangunan pentadbiran serta akademik bagi menghalang kemasukan air dari luar.

Sistem takungan air (sump) turut disediakan bagi mengumpulkan air di kawasan yang dilindungi benteng sebelum dipam keluar.

Menurut Arham, beberapa laluan saliran yang tersumbat di sekitar Taman Bendahara turut dikenal pasti dan tindakan telah diambil bersama-sama JPS, selain aktiviti gotong-royong membersihkan longkang dengan kerjasama pelajar serta pihak berkuasa tempatan.

Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, UMK turut mengaktifkan bilik gerakan banjir sejak minggu lepas sebagai sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana itu.

Kemudahan pengangkutan bas, pusat pemindahan sementara serta bekalan makanan, termasuk makanan retort turut disediakan sebagai persediaan sekiranya banjir melanda. - Bernama