SEMANGAT berkongsi rezeki sempena Ramadan terus disemarakkan apabila Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program kebajikan dengan menyampaikan sumbangan makanan asas kepada penghuni di Pusat Aktiviti Warga Emas Ayer Hitam, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Program Ihya’ Ramadan PPPJJ yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti keagamaan, tetapi juga usaha kebajikan dan kemasyarakatan.
Melalui inisiatif itu, sumbangan makanan asas disampaikan kepada warga emas sebagai tanda keprihatinan serta usaha untuk sedikit sebanyak meringankan beban mereka sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PPPJJ, Shaik Abdullah Hassan Mydin, berharap sumbangan yang diberikan dapat memberi manfaat kepada penghuni di pusat berkenaan.
Menurut beliau, walaupun sumbangan tersebut sederhana, ia diharap mampu membawa kegembiraan kepada warga emas yang menerima.
Selain program kebajikan tersebut, Jawatankuasa Ihya’ Ramadan PPPJJ turut merancang pelbagai aktiviti lain sepanjang Ramadan, termasuk ceramah Ramadan, kutipan sumbangan kebajikan serta program pengimarahan Ramadan yang melibatkan penyertaan staf dan komuniti.
Sementara itu, Setiausaha program, Nor Ashikin Zainol Abidin, berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Menurut beliau, inisiatif seumpama ini bukan sahaja membantu masyarakat setempat, malah turut mengeratkan hubungan antara warga universiti dan komuniti di sekeliling, di samping memupuk nilai kesukarelawanan serta keprihatinan sosial.