MAKANAN ringan dengan pembungkusan menarik dan rasa yang enak memang mudah memikat kanak-kanak. Namun, sejauh mana mereka mengambil tahu tentang kandungan serta status halal makanan yang dibeli?
Persoalan itu menjadi antara perkara yang diketengahkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) di Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Ibnu Sina (SRITI Ibnu Sina) Hulu Bernam, pada Khamis.
Penyelaras program yang juga pensyarah kursus Fiqh Pemakanan, Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin berkata, program itu dirancang berdasarkan maklum balas pihak sekolah mengenai kecenderungan murid membeli makanan ringan tanpa meneliti maklumat pada pembungkusan dan kandungannya.
“Kanak-kanak sering tertarik dengan pembungkusan makanan yang cantik dan menarik serta lebih mengutamakan rasa. Namun, aspek kandungan dan status halal makanan juga perlu diberikan perhatian,” katanya.
Menurutnya, seramai 160 murid menyertai program itu dengan bimbingan 35 mahasiswa UPSI yang memberikan pendedahan mengenai fiqh makanan menerusi enam stesen pembelajaran interaktif.
"Antara perkara yang diteroka termasuk konsep syubhah, hukum pemakanan serangga, sembelihan, al-jallalah, haiwan dua alam serta isu penggunaan arak dalam makanan.
"Bagi memudahkan murid memahami topik berkenaan, setiap stesen menggunakan bahan visual, permainan pendidikan dan aktiviti praktikal yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.
"Antaranya, murid diberi peluang menyusun langkah penyembelihan mengikut urutan yang betul serta mengikuti simulasi menggunakan model lembu bagi memahami asas sembelihan menurut syarak," katanya.
Katanya, mereka juga dibimbing mengenal pasti makanan yang diragui status halalnya melalui contoh makanan harian seperti minuman boba, sosej dan makanan ringan.
"Menerusi aktiviti mengelaskan kad gambar, murid perlu membezakan makanan dalam kategori halal, haram dan makanan yang memerlukan semakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SRITI Ibnu Sina Hulu Bernam, Siti Najwa Md Zin berkata, program itu membantu meningkatkan kesedaran murid, khususnya golongan yang menghafaz al-Quran, supaya lebih prihatin terhadap makanan yang diambil dan tidak hanya membuat pilihan berdasarkan rasa atau pembungkusan.
"Selain memberi manfaat kepada murid, program itu turut menjadi ruang untuk mahasiswa UPSI mengaplikasikan ilmu fiqh dalam komuniti sebenar, di samping mengasah kemahiran komunikasi, pengajaran dan pengendalian aktiviti pembelajaran.
"Pendekatan itu diharap dapat memupuk kesedaran memilih makanan halal sejak usia sekolah, sekali gus membentuk generasi yang bukan sahaja tahu menikmati makanan, tetapi turut memahami kepentingan meneliti apa yang dimakan," katanya.