Anak Penan dari Ulu Jelalong Saoh genggam PhD selepas tujuh tahun

- Advertisement / Iklan -

BERASAL dari sebuah perkampungan pedalaman di Ulu Jelalong Saoh, Tubau, Bintulu, Sarawak, Sarina anak Keti, 48, membuktikan bahawa kemiskinan dan keterbatasan hidup bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Lebih bermakna, kejayaan anak masyarakat Penan itu dicapai selepas tujuh tahun mengharungi cabaran membahagikan masa antara kerjaya, tanggungjawab keluarga dan penyelidikan, selain berdepan kekangan kewangan sepanjang pengajian.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu menamatkan pengajian PhD dalam bidang Philosophy and Civilisation Studies, sekali gus membawa harapan untuk mengangkat martabat masyarakat Penan melalui pendidikan.

Menurut Sarina, pengalaman membesar dalam keluarga yang serba kekurangan menjadi pendorong untuk beliau meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi, selain membuktikan bahawa anak masyarakat Peribumi juga mampu mencapai kecemerlangan akademik.

- Advertisement / Iklan -

“Saya mahu anak-anak saya, generasi muda dan seluruh masyarakat Penan di Sarawak melihat bahawa gelaran Doktor Falsafah bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh anak-anak Peribumi.

“Kejayaan ini bukan semata-mata untuk mendapatkan gelaran Dr. di hadapan nama, tetapi sebagai mesej bahawa kemiskinan, latar belakang keluarga dan kekangan kehidupan tidak seharusnya menjadi penghalang seseorang mencapai cita-cita,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menariknya, penyelidikan PhD Sarina memberi tumpuan kepada simbol ritual Pakan dalam masyarakat Penan Saoh di Ulu Jelalong, Bintulu, merangkumi sistem kepercayaan, simbol budaya, hubungan manusia dengan alam serta nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, kajian itu dilakukan kerana masih banyak sejarah, falsafah kehidupan dan warisan budaya masyarakat Penan yang belum didokumentasikan secara menyeluruh.

“Selama ini, masyarakat Penan sering dikaitkan dengan kehidupan nomad dan persekitaran hutan, sedangkan kami turut mempunyai sistem nilai, falsafah kehidupan, identiti budaya dan ketamadunan tersendiri.

“Saya berharap penyelidikan ini menjadi sumber rujukan kepada generasi muda Penan untuk mengenali asal usul serta warisan mereka, selain membantu masyarakat luar memahami kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya.

Mengimbau cabaran sepanjang tujuh tahun pengajian, Sarina berkata, beliau perlu membahagikan masa antara membesarkan anak-anak yang masih bersekolah, tuntutan kerjaya dan penyelidikan, terutama apabila suaminya bekerja jauh.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru dan pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau dan Sebauh sebelum bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ketika ini.

“Kekangan kewangan juga menjadi antara cabaran yang perlu saya hadapi untuk memastikan pengajian ini dapat diteruskan,” katanya.

Bagaimanapun, sokongan keluarga, bantuan anak saudara serta bimbingan penyelianya, Profesor Dr. Mohamad Maulana Magiman, menjadi antara kekuatan yang membantunya menamatkan pengajian.

Selepas meraih PhD, Sarina berhasrat meneruskan sumbangan dalam pendidikan masyarakat Penan, khususnya membantu anak-anak yang belum mendapat akses kepada pendidikan formal supaya tidak tercicir.

Beliau juga mahu meneruskan penyelidikan berkaitan falsafah, warisan dan ketamadunan masyarakat Penan agar khazanah budaya itu dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

“Pendidikan yang tinggi bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk meninggikan martabat masyarakat yang kita wakili.

“Saya mungkin seorang anak Penan yang datang dari sebuah rumah kecil yang miskin ketika itu di Ulu Jelalong Saoh, tetapi impian saya tidak pernah kecil.

“Hari ini, saya berdiri sebagai seorang graduan PhD bukan untuk membuktikan bahawa saya lebih hebat daripada orang lain, tetapi untuk membuktikan bahawa anak Penan juga mampu berjaya,” katanya.