Kereta kimia pacu minat murid terhadap STEM

- Advertisement / Iklan -
Program anjuran PUO itu beri peluang kepada 64 murid Tahun Lima SJK(T) Chettiars teroka prinsip sains melalui cabaran membina kereta kimia secara berkumpulan

SIAPA sangka prinsip kimia yang dipelajari di dalam buku boleh digunakan untuk menggerakkan sebuah kereta mini?

Pengalaman itu diterokai 64 murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Chettiars menerusi Program STI 100³ 2026: Chemical Car Challenge anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO).

Menerusi aktiviti berkenaan, murid dibahagikan kepada 30 kumpulan untuk membina kereta kimia sebelum menguji hasil ciptaan masing-masing dalam pertandingan yang menggabungkan kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan aplikasi prinsip sains.

Lebih menarik, mereka turut mendapat bimbingan secara langsung daripada pensyarah dan pelajar PUO yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang aktiviti berlangsung.

- Advertisement / Iklan -

Pendekatan pembelajaran secara praktikal itu memberi peluang kepada murid memahami konsep sains melalui pengalaman sendiri, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan menyeronokkan.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, pendedahan STEM menerusi aktiviti kreatif mampu mencetuskan rasa ingin tahu murid serta membantu mereka melihat kaitan sains dengan kehidupan seharian.

Menurutnya, sains bukan sekadar teori yang dipelajari di dalam bilik darjah, sebaliknya boleh diteroka dan diaplikasikan melalui pelbagai aktiviti serta inovasi.

Beliau berkata, PUO komited memperluas perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

"Usaha itu penting bagi melahirkan kelompok yang celik teknologi, berfikiran kreatif dan berani meneroka bidang sains serta inovasi," katanya.

Program diketuai Ts R Karthigeyen selaku pengarah program dan saintis itu mencerminkan usaha PUO mendekatkan bidang STEM kepada komuniti sekolah, selain membuka ruang kepada murid mengenali potensi pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkenaan.