Impian nenek, sokongan suami bawa dua graduan UPSI julang Anugerah Diraja

- Advertisement / Iklan -
Abbas Ali dan Sofea Maisarah buktikan kejayaan akademik hadir bersama doa, pengorbanan serta sokongan insan tersayang

DI sebalik kejayaan menggenggam Anugerah Pelajaran Diraja (APDR), tersimpan kisah dua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadikan impian keluarga dan sokongan insan tersayang sebagai kekuatan untuk mencapai kecemerlangan.

Bagi Abbas Ali Iftikhar Hussain, 24, kejayaan itu membawa makna tersendiri apabila berjaya merealisasikan impian neneknya untuk melihat seorang cucu menjadi individu pertama dalam keluarga memperoleh segulung ijazah.

Sementara itu, bagi Sofea Maisarah Shuib, 25, perjalanan akademiknya lebih bermakna apabila suami, Muhammad Hazim Haziq Mond Rizal, turut menjadi teman seperjuangan sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sama.

Kedua-duanya dipilih sebagai penerima APDR pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28, dengan Abbas Ali menerima anugerah kategori Bukan Bumiputera, manakala Sofea Maisarah bagi kategori Bumiputera.

- Advertisement / Iklan -

Abbas Ali, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kimia) dengan Kepujian, berkata impian nenek serta harapan ibu bapanya menjadi pendorong untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan aktif dalam pembangunan mahasiswa.

- Advertisement / Iklan -

“Impian yang saya tanam sejak diploma akhirnya menjadi kenyataan. Kejayaan ini bukan milik saya sepenuhnya, tetapi milik semua insan yang banyak menyokong, membimbing dan mendoakan saya dari kecil sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pada istiadat berkenaan.

Anak kepada pemandu lori, Iftikhar Hussain Sadiq Hussain, 59, dan kerani kewangan, Nursham Abdullah, 53, itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 pada peringkat ijazah sarjana muda selepas mencatat keputusan 3.93 dalam Diploma Teknologi Makmal di UPSI.

Beliau turut menerima Anugerah Dekan sepanjang lapan semester pengajian, selain menghasilkan dua artikel dalam jurnal berindeks Scopus sebagai penulis utama dan penulis bersama.

Penglibatannya dalam bidang pendidikan pembangunan mampan turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Kelestarian Siswa Negara 2025 dan Tokoh Siswa UPSI 2026.

Sementara itu, Sofea Maisarah menyifatkan kejayaan menerima APDR sebagai satu penghargaan bermakna selepas melalui perjalanan pengajian bersama suaminya sejak peringkat diploma.

Menurutnya, mereka mula berkenalan ketika mengikuti Diploma Kaunseling Islami di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar pada 2019 sebelum menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dengan Kepujian di UPSI.

Sofea Maisarah memperoleh PNGK 3.94, selain mencatat Purata Nilai Gred Semasa (PNGS) 4.00 sebanyak empat kali dan menerima Anugerah Dekan pada setiap semester.

Beliau turut dipilih sebagai Calon Rentas Cemerlang A bagi Internship Kaunseling pada semester akhir, selain menghasilkan lima inovasi dalam bidang kaunseling dan pendidikan yang meraih empat Gold Award serta satu Bronze Award menerusi pertandingan peringkat antarabangsa.

Antara pengalaman yang memberi kesan besar kepadanya ialah ketika memberikan sokongan psikososial dan bantuan psikologi awal (Psychological First Aid) kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa nahas bas pelajar UPSI di Gerik pada Jun 2025.

Pengalaman itu membolehkannya mengaplikasikan ilmu kaunseling yang dipelajari dalam situasi sebenar.

Suaminya, Muhammad Hazim Haziq, 25, turut menamatkan pengajian dalam program sama dengan PNGK 3.65 dan bakal menerima ijazah pada sesi keenam istiadat berkenaan.

Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember ini, membabitkan lapan sesi dengan seramai 6,781 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.