UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah menganjurkan Program Pahlawan Muda: Wujudkan Impian bagi membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
Program hasil kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tampin itu menggabungkan elemen pendidikan, kesukarelawanan dan interaksi sosial menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Inisiatif mahasiswa Semester Lima program BA132 itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kursus OBM310 – Organizing Skills, menerusi kumpulan penganjur ECHOES OF US yang diketuai Nur Damia Izzati Zolkanain dengan bimbingan penasihat program, YM Dr Raja Mayang Delima Mohd Beta.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Dr Siti Normah Awang Tuah dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh merangkap Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) Daerah Tampin, Suhaimizan Bizar.
Dalam ucapannya, Suhaimizan menegaskan pembangunan generasi muda memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, keluarga dan komuniti.
Beliau berkata, setiap anak mempunyai potensi tersendiri yang perlu dibangunkan melalui peluang pendidikan, pendedahan dan persekitaran yang menyokong.
Antara pengisian program ialah aktiviti KEEP WALKING - Campus Tour Run yang memberi peluang kepada peserta mengenali persekitaran universiti serta mendapat gambaran mengenai kehidupan kampus.
Peserta turut mengikuti aktiviti latihan, permainan dan pembangunan kepimpinan serta komunikasi yang menggalakkan interaksi, kerja berpasukan dan keberanian menyuarakan pandangan.
Selain memberi manfaat kepada peserta, program itu turut menjadi medan mahasiswa mengaplikasikan ilmu pengurusan organisasi melalui pengalaman merancang dan melaksanakan aktiviti bersama komuniti.
Mahasiswa juga diberi tanggungjawab mengendalikan modul program selepas mengikuti latihan bersama Pegawai Psikologi Kanan JKM Daerah Tampin, Nor Azlan Sarmudan.
Kerjasama turut melibatkan JKM Negeri Sembilan, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Tampin, Pejabat Pendidikan Daerah Tampin, pihak sekolah dan warga akademik UiTM.
Penganjuran program itu mencerminkan peranan universiti dalam memperluas tanggungjawab sosial melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan penglibatan mahasiswa bersama masyarakat.
Usaha berkenaan diharap dapat diteruskan menerusi kerjasama strategik yang membuka lebih banyak peluang pembangunan diri kepada golongan muda.