TEKNOLOGI nuklear bukan sekadar berkaitan tenaga atom atau senjata, sebaliknya mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan seharian termasuk membantu rawatan kanser dan meningkatkan penghasilan benih padi.
Namun, bidang sains itu masih dianggap kompleks oleh sebahagian masyarakat, khususnya golongan muda yang belum mendapat pendedahan mengenainya.
Bagi merapatkan jurang pengetahuan itu, buku Pengembaraan Dunia Nuklear diperkenalkan menerusi pendekatan komik, ilustrasi dan aktiviti interaktif bagi membantu pelajar memahami konsep serta aplikasi teknologi nuklear dengan lebih mudah.
Buku berkenaan diedarkan kepada pengunjung sempena Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM),baru-baru ini.
Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli berkata, buku dan bahan bercetak masih memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca serta membantu masyarakat mendalami ilmu meskipun teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang.
Katanya, PNM terbuka untuk memperluas kerjasama dengan Program Advokasi Nuklear bagi memberi lebih ramai peluang mengenali kegunaan teknologi itu dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Farah Fadzehah Hilmi berkata, keistimewaan buku Pengembaraan Dunia Nuklear terletak pada pendekatannya yang memperkenalkan konsep sains tanpa huraian terlalu teknikal.
“Pengenalan watak komik seperti Proton, Neutron dan Elektron menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik, di samping memudahkan penerangan konsep sains yang kompleks melalui pendekatan analogi,” katanya.
Menurutnya, kefahaman terhadap bahan bacaan turut memudahkan pelajar berkongsi pengetahuan dengan keluarga dan rakan-rakan.
Naib Presiden Kanan, Bahagian Usaha Sama Strategik, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd. (Bioeconomy Corporation), Fadzrin Azwar Abd Aziz pula berkata, buku berkenaan sesuai dibaca bersama keluarga, manakala Pek Advokasi Nuklear boleh dimanfaatkan guru sebagai bahan bantu mengajar.
“Pembacaan daripada sumber yang berwibawa turut membantu masyarakat meneliti maklumat dan membina pemahaman berasaskan fakta,” katanya.
Beliau berkata, peserta program turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan melalui aktiviti Misi Eksplorasi Nuklear (escape room), permainan papan Bandar Pintar Nuklear dan sesi interaksi bersama pakar.
Inisiatif menggabungkan pembacaan dengan aktiviti sains itu turut mendapat sokongan Knowledge Centre, perpustakaan khusus Bioeconomy Corporation, menerusi program bioteknologi SciensationBIO, selaras dengan prinsip “Bioekonomi untuk semua”.
Bagi Ikhwan Khaleb, anak Malaysia yang berkhidmat sebagai jurutera Thermal-Hydraulics dalam industri tenaga nuklear di Amerika Syarikat, minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bermula sejak sekolah rendah.
“Saya didedahkan kepada bidang STEM seawal sekolah rendah yang membuatkan saya tertarik sehingga hari ini. Pelajar hari ini sangat bertuah kerana akses maklumat semuanya di hujung jari.
“Tetapi cari juga video, buku, artikel dan ikuti profesional dalam bidang ini untuk mendapatkan gambaran lebih dekat dengan realiti kerjaya,” katanya.