PUO kembali juara kabaddi selepas sedekad

- Advertisement / Iklan -
Turut meraih dua anugerah individu menerusi pemain terbaik dan pertahanan terbaik kejohanan

SELEPAS 10 tahun, Politeknik Ungku Omar (PUO) kembali mengungguli Kadaram Kabaddi Championship UUM 2026 apabila muncul juara kejohanan yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, baru-baru ini.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian PUO pada 2016 sekali gus membuktikan keupayaan pasukan politeknik bersaing dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam arena sukan.

Menerusi kemenangan tersebut, PUO membawa pulang wang tunai RM800 selain meraih dua pengiktirafan individu.

- Advertisement / Iklan -

Pemain PUO, K. Nashwein Nair dinobatkan sebagai Best Player of the Tournament, manakala T. Tanaseelan  menerima anugerah Best Defender of the Tournament.

Pasukan itu dibimbing Pengurus Pasukan merangkap jurulatih, R. Karthigeyen dengan bantuan Darren Rao yang juga alumni PUO.

- Advertisement / Iklan -

Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, kejayaan mengulangi pencapaian selepas sedekad itu menjadi kebanggaan institusi dan membuktikan pelajar politeknik mampu mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, kemenangan berkenaan bukan sekadar kejayaan dalam pertandingan, malah mencerminkan disiplin, ketahanan diri, semangat berpasukan dan kesungguhan yang penting dalam pembentukan graduan holistik.

"Tahniah kepada seluruh pasukan Kabaddi PUO atas kejayaan yang amat membanggakan ini.

"Keupayaan mengulangi pencapaian yang pernah diraih pada 2016 membuktikan bahawa semangat juang dan kecemerlangan warga PUO terus kekal merentasi generasi.

"Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga politeknik untuk terus berani menyahut cabaran, menggilap potensi diri dan membuktikan kemampuan bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya.

Kejayaan itu hasil latihan berterusan serta komitmen pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan.

Pencapaian berkenaan turut memperlihatkan peranan aktiviti sukan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kemahiran akademik dan teknikal, malah mempunyai daya kepimpinan, ketahanan diri serta semangat kesukanan.