PELARI pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee mahu mengekalkan konsistensi dengan mencatat bawah 10.30 saat (s) dalam acara 100 meter (m) pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 selepas pulih daripada kecederaan.
Danish Iftikhar berkata keadaan fizikalnya kini berada pada tahap 90 peratus selepas menjalani pemulihan selama tiga hingga empat minggu susulan kecederaan yang dialami pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hujung September lepas.
"Ini pertandingan terakhir saya tahun ini sebelum berehat. Saya sudah beraksi dalam beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk Sukan Asia, SUKIPT (Sukan Institusi Pendidikan Tinggi) dan SUKMA (Sukan Malaysia) sehingga mengalami kecederaan yang agak serius.
"Alhamdulillah, selepas menjalani proses pemulihan, keadaan saya semakin baik. Saya akan cuba mengekalkan prestasi dan konsistensi catatan, selain berharap dapat melakukan yang terbaik untuk Malaysia,” kata penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris berusia 19 tahun itu.
Beliau yang juga pemenang pingat gangsa 100m dan 200m pada Sukan SEA Thailand 2025 ditemui pada Sesi Santai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol Bersama Kontinjen Malaysia AUG 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Rabu.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Danish mara ke final 200m dan menamatkan saingan di tempat keenam sebelum terpaksa menarik diri daripada acara 4x100m selepas mengalami kecederaan.
Pemenang pingat emas 100m SUKMA Selangor 2026 dengan catatan 10.27s itu berkata beliau akan beraksi dalam acara 100m, 200m, 4x100m dan 4x100m campuran pada AUG 2026.
Mengulas peluang meraih pingat, pemegang rekod 200m kebangsaan dengan catatan 20.73s itu berkata beliau belum mengetahui senarai penuh pesaing, namun akan menjadikan jaguh Thailand Puripol Boonson sebagai pembakar semangat sekiranya atlet itu turut beraksi.
"Kami tidak tahu siapa yang akan bertanding nanti. Saya ada mendengar khabar angin Puripol mungkin berlari di AUG 2026,” katanya yang mempunyai catatan terbaik peribadi 10.18s dalam acara 100m yang dilakukannya tahun lepas.
Terdahulu, Mordi meluangkan masa menyantuni dan memberikan kata-kata semangat kepada barisan atlet yang akan menggalas cabaran negara pada AUG 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 19 Dis.
Sebanyak 19 sukan akan dipertandingkan pada AUG 2026 masing-masing di Shah Alam, Kuala Lumpur, Serdang dan Bangi dengan tema"Holistic.Excellence”. - Bernama