AKTIVITI seperti flying fox, memanjat dan pelbagai cabaran luar memang menyeronokkan, tetapi aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila melibatkan risiko kecederaan dan kecemasan.
Menyedari kepentingan itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat pencapaian tersendiri apabila menjadi universiti pertama di Malaysia menerima pensijilan MS ISO 21101:2014 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Pengembaraan (Adventure Tourism Safety Management System – ATSMS).
Lebih menarik, pengiktirafan menerusi Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA), Pusat Kokurikulum UPSI itu turut menjadikan UPSI Adventure Park (UAP) sebagai taman pengembaraan pertama di negara ini yang memperoleh pensijilan berkenaan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan aktiviti pengembaraan, rekreasi dan pendidikan luar dilaksanakan dengan sistem pengurusan keselamatan yang teratur.
Menurutnya, pensijilan berkenaan diperoleh selepas universiti melalui proses audit menyeluruh yang menilai pelbagai aspek termasuk pengurusan risiko, kompetensi petugas, prosedur operasi standard (SOP) dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“UPSI sentiasa komited untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan serta menjadi model rujukan (role model) kepada industri rekreasi dan pendidikan luar di Malaysia.
“Kejayaan memperoleh pensijilan MS ISO 21101:2014 ini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi juga mampu menetapkan penanda aras terbaik dalam pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yasim berkata, pensijilan itu bukan bermaksud aktiviti pengembaraan bebas sepenuhnya daripada risiko, sebaliknya membuktikan universiti mempunyai sistem untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko secara berterusan.
“Pensijilan ini bukan bermaksud aktiviti pengembaraan bebas sepenuhnya daripada risiko, tetapi membuktikan bahawa UPSI mempunyai sistem pengurusan yang tersusun untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan standard berkenaan merangkumi proses perancangan aktiviti, pengenalpastian bahaya, penilaian risiko, langkah kawalan serta pemantauan operasi.
Menerusi AURORA dan UPSI Adventure Park, universiti turut merancang menjadikan pencapaian itu sebagai platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik kepada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta penggiat industri rekreasi dan pendidikan luar.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut juga membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan kompetensi bagi memperkukuh budaya keselamatan dalam industri pengembaraan negara.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan UPSI sebagai antara institusi rujukan dalam pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan, selain memperluas peranan universiti dalam pembangunan pendidikan luar yang lebih profesional dan bertanggungjawab.