FSSK UPSI tawar sokongan psikologi buat jaguh angkat berat negara

- Advertisement / Iklan -
Dua bekas atlet kebangsaan dan pakar psikologi sukan tawar sokongan mental kepada jaguh angkat berat negara selepas kehilangan tangan kanan akibat kemalangan

BERITA duka mengenai jaguh angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, yang terpaksa melalui pembedahan pemotongan tangan kanan paras atas siku susulan kemalangan jalan raya di Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE) amat mengejutkan serta meruntun hati seluruh warga sukan tanah air.

Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Jaffry Zakaria berkata, menyedari hakikat bahawa fasa pascapembedahan adalah tempoh paling kritikal buat seseorang atlet berprestasi tinggi, pihaknya mengambil inisiatif proaktif dengan menggerakkan pasukan kepakaran psikologi sukan fakulti bagi menawarkan khidmat sokongan dan intervensi mental kepada Hafizuddin.

Beliau berkata, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu baru sahaja mengharumkan nama negara menerusi catatan rekod baharu kejohanan dan kebangsaan.

Justeru, katanya, ujian getir yang menimpa atlet itu bukan sahaja memberi impak besar terhadap fizikal beliau, malah bakal menghadapi satu bentuk trauma psikologi yang sangat mendalam.

- Advertisement / Iklan -

Dr Jaffry berkata, dua pensyarah kanan dan pakar dalam bidang psikologi sukan FSSK yang juga bekas atlet kebangsaan berprofil tinggi, Profesor Madya Dr. Nelfianty Mohd Rasyid (bekas atlet hoki negara Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998) dan Dr. Mon Redee Sut Txi, OLY (bekas atlet memanah Olimpik negara) dipilih mengendalikan inisiatif itu berdasarkan gabungan unik antara kepakaran klinikal dan akademik dalam psikologi sukan serta pengalaman sebenar mereka mengharungi tekanan di pentas sukan tertinggi dunia.

"Dalam situasi kritikal ini, cabaran terbesar seorang atlet bukan sekadar proses penyembuhan luka fizikal, tetapi bagaimana untuk menguruskan kejutan emosi, fasa penafian, dan kehilangan identiti sukan secara mendadak.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, Dr. Nelfianty dan Dr. Mon Redee bukan sahaja pakar psikologi, tetapi bekas atlet kebangsaan yang benar-benar memahami jiwa, pengorbanan, dan daya juang seorang wira negara.

Katanya, dalam bidang sains sukan kecederaan yang mengubah keupayaan fizikal secara kekal memerlukan pendekatan Pertolongan Cemas Psikologi (Psychological First Aid - PFA) pada peringkat awal, malah intervensi penting bagi membantu atlet memproses trauma kemalangan, membina semula daya tahan mental (resilience), serta menstabilkan emosi sebelum melangkah ke fasa rehabilitasi seterusnya.

Menurut beliau kombinasi kepakaran antara Dr. Nelfianty yang berpengalaman luas dalam psikologi sukan dan etika penyelidikan atlet, manakala Dr. Mon Redee, seorang Olympian yang aktif dalam penyelidikan psikofisiologi dan pengurusan kecederaan atlet, diyakini mampu memberikan ruang sokongan yang empatetik, selamat, dan berstruktur buat Hafizuddin serta ahli keluarganya.

“Pihak fakulti sentiasa komited untuk menyumbang kepakaran sains sukan demi kesejahteraan atlet negara, tanpa mengira situasi, malah seluruh warga UPSI mendoakan agar proses pemulihan awal Muhammad Hafizuddin berjalan lancar dan dikurniakan kekuatan jiwa yang luar biasa untuk bangkit daripada ujian ini,” katanya.