SIAPA kata anak muda yang celik teknologi perlu melupakan seni warisan? Bagi Izzuddin Ezairy bin Ezshuhaidy, 20, Dikir Barat dan kecerdasan buatan (AI) bukan dua dunia yang perlu dipilih salah satu, sebaliknya kedua-duanya boleh bergerak seiring.
Di Politeknik Ungku Omar (PUO), mahasiswa Semester Lima Diploma Teknologi Maklumat (Sistem Rangkaian) itu bukan sahaja sibuk dengan dunia pengaturcaraan dan teknologi, malah turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Kelab Dikir Barat Warisan Pusaka di bawah Lantera Seni PUO.
“Bagi saya, tradisi dan teknologi bukan dua perkara yang perlu dipisahkan. Dikir Barat membentuk saya sebagai pemimpin, manakala bidang teknologi membuka ruang untuk saya berkarya dan mencipta sesuatu yang baharu.
“Saya mahu menjadi graduan yang bukan sahaja mahir dengan teknologi, tetapi juga mempunyai jati diri, berani mencuba dan mampu membawa perubahan,” katanya.
Mengemudi kumpulan yang mempunyai 30 ahli bukan tugas mudah. Setiap individu mempunyai karakter, komitmen dan tanggungjawab berbeza, sekali gus menuntut kesabaran serta komunikasi yang baik bagi memastikan latihan dan persembahan berjalan lancar.
Antara pengalaman yang paling diingati ialah apabila beliau diberi kepercayaan mengetuai kumpulan itu dalam Konsert Citra Irama Warisan pada Malam Kebudayaan sempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026.
Bagi Izzuddin, peluang beraksi di pentas besar itu bukan sekadar pengalaman membuat persembahan di hadapan khalayak, tetapi ruang untuk menguji kemampuan diri memimpin pasukan.
Dalam masa sama, beliau perlu memastikan komitmen terhadap seni tidak menjejaskan tanggungjawab sebagai pelajar. Pengalaman itu mengajarnya mengurus masa, membuat keputusan dan bekerjasama dengan orang lain.
Namun, bakatnya tidak terhad di pentas seni. Di sebalik paluan rebana dan alunan Dikir Barat, Izzuddin turut menunjukkan kemampuannya dalam bidang teknologi apabila projek tahun akhirnya meraih tempat kedua kategori Innovation and Creativity Exhibition pada ICE JTMK 2026.
Projek bertajuk AI-Enabled Wildlife Monitoring System for Smart Agriculture itu dibangunkan bersama ahli kumpulannya bagi membantu mengesan kehadiran haiwan liar yang berpotensi merosakkan tanaman.
Menggunakan kamera dan teknologi AI, sistem berkenaan menganalisis imej untuk mengenal pasti haiwan yang memasuki kawasan pemantauan, termasuk babi hutan dan monyet.
Teknologi itu berpotensi membantu pengusaha pertanian mengesan kehadiran haiwan liar lebih awal, sekali gus merancang langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman.
Bagi Izzuddin, projek berkenaan memberi peluang untuk menterjemahkan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah kepada penyelesaian yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan sebenar.
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, penglibatan mahasiswa dalam seni, kebudayaan dan inovasi teknologi mencerminkan kepentingan pendidikan TVET yang turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah serta kemahiran insaniah.
Menurutnya, pengalaman di luar bilik kuliah mampu membina keyakinan diri, kepimpinan, kreativiti dan kebolehan bekerja dalam pasukan.
Beliau berharap pencapaian Izzuddin dapat mendorong lebih ramai mahasiswa meneroka bakat masing-masing, berani mencuba perkara baharu dan menggunakan ilmu untuk memberi manfaat kepada masyarakat serta industri.
Bagi Izzuddin, kedua-dua bidang itu memberikan pengalaman yang berbeza tetapi saling melengkapi. Dikir Barat mengajarnya tentang warisan, kesepakatan dan kepimpinan, manakala teknologi mengasah pemikiran kritis serta kreativiti.
Kisahnya membuktikan mahasiswa tidak perlu mengehadkan diri kepada satu bidang untuk menyerlah. Selagi ada minat dan kesungguhan, seni warisan boleh terus hidup dalam jiwa generasi digital, sementara teknologi pula menjadi ruang untuk mereka mencipta sesuatu yang lebih bermakna.