UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan wakil media dan rakan strategik dalam Majlis Iftar Silaturahim UPSI Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 yang berlangsung di sebuah hotel pada Isnin.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan pihak media dan rakan industri yang membantu mempromosikan pelbagai inisiatif serta pencapaian universiti berkenaan.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, majlis berkenaan menghimpunkan 57 wakil daripada 28 agensi media serta 37 wakil daripada 23 agensi rakan strategik.
“Bagi pihak UPSI, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan media dan rakan industri atas doa, sokongan serta promosi yang diberikan sehingga UPSI terus dikenali sebagai sebuah universiti yang tersohor dan terkemuka.
"Terima kasih tidak terhingga atas segala bantuan rakan media dan pihak industri.
“Malah, ketika UPSI melalui detik sukar dengan pemergian 15 anak syuhada iaitu penuntut yang terkorban dalam kemalangan sebelum ini, rakan-rakan media sentiasa bersama kami.
“Sokongan dan liputan yang diberikan ketika itu sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat warga UPSI yang sedang berduka, dan perkara itu amat kami hargai,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Pada masjlis tersebut juga, UPSI menyampaikan penghargaan kepada wakil media yang hadir termasuk Sinar Varsity.
Dalam pada itu, Md Amin berkata, hubungan erat antara universiti, media dan rakan industri terus menjadi pemangkin kepada kejayaan UPSI di peringkat global.
Katanya, UPSI kini berada pada kedudukan 101 terbaik dunia dalam bidang pendidikan selain menduduki tangga ke-156 terbaik di Asia dalam QS World University Rankings Asia 2026.
"UPSI juga berada pada kedudukan ke-98 dunia dalam penarafan UI GreenMetric, yang menilai komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga hijau," katanya lagi
Tambah beliau, universiti itu akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk industri bagi memastikan peranan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan masyarakat dan negara terus diperkasa.