UMS perkasa kepimpinan belia menerusi pendekatan psikologi, sains dan teknologi

- Advertisement / Iklan -
Peserta Program sedang melakukan aktiviti Water Crisis:Purple Code yang menggunakan pendekatan sains.

USAHA melahirkan generasi pemimpin muda berdaya saing terus diperkasa menerusi Program Pemerkasaan Kepimpinan Belia dalam Komuniti bertemakan ‘Youth Rise: Lead and Inspire’ anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggabungkan pendekatan psikologi, sains dan teknologi.

Penyelaras program, Profesor Madya Dr Getrude Cosmas berkata, program itu bertujuan memupuk nilai dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia, termasuk komunikasi berkesan, keyakinan diri, pemikiran kreatif dan kritis, penyelesaian masalah serta kerja berpasukan.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan SULAM (Service-Learning Malaysia–University for Society) bagi kursus PY30503, Isu-isu dalam Belia dan Komuniti, dengan penglibatan 34 pelajar Program Psikologi UMS.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi sebenar menerusi penglibatan bersama komuniti,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Program itu merupakan hasil kerjasama Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS, TVETMARA Kota Kinabalu, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, U-Science UMS serta Program Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) UMS.

Peserta Program sedang melakukan aktiviti Water Crisis:Purple Code yang menggunakan pendekatan sains.

- Advertisement / Iklan -

Getrude berkata, pelbagai aktiviti interaktif dan berstruktur dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran peserta dalam mengurus dan memimpin, selain memberi pendedahan mengenai kepentingan nilai kepimpinan dalam komuniti.

Antara pengisian program ialah sesi perkongsian belia bertajuk ‘Kepimpinan Belia: Cabaran dan Inspirasi’ serta aktiviti berkumpulan yang dirangka untuk menguji keupayaan peserta mengaplikasikan kemahiran kepimpinan menerusi tiga pendekatan utama, iaitu teknologi, psikologi dan sains.

Menerusi aktiviti ‘Project X: Red Code’ berteraskan teknologi, peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua untuk menyelesaikan tugasan di beberapa stesen berdasarkan arahan diberikan, sekali gus menguji kemahiran komunikasi dan kerjasama berpasukan.

Pendekatan psikologi pula diterapkan menerusi aktiviti menghasilkan projek menggunakan bahan kitar semula yang memerlukan setiap kumpulan merancang strategi serta menyesuaikan tindakan apabila berdepan arahan baharu daripada fasilitator.

“Cabaran itu menguji keupayaan pemimpin dan ahli kumpulan menyesuaikan perancangan, menangani perubahan serta membuat keputusan dalam situasi tidak dijangka,” katanya.

Sementara itu, pendekatan sains diketengahkan menerusi aktiviti ‘Water Crisis: Purple Code’ yang menggunakan ekstrak kubis ungu, soda dan cuka bagi menggambarkan perubahan keadaan air dalam simulasi krisis pencemaran air.

Menerusi aktiviti itu, peserta perlu berbincang dan mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menangani situasi pencemaran air, selain membuat keputusan secara bersama demi melindungi keselamatan komuniti.

Program diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan Pengarah TVETMARA Kota Kinabalu, Haji Abdul Munap Tahir.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Akademik), Ts. Hasrun Mohd Hasan; Penyelaras Program Kerohanian Peringkat TVETMARA, Susan A. Anjemeh dan Pengarah Program, Aina Shafinaz Raimi.