107 PTJ USM raih penarafan lima daun Pejabat Hijau

- Advertisement / Iklan -
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berucap pada Majlis Penarafan Pejabat Hijau dan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) USM 2026 di Dewan Budaya USM.

SEBANYAK 107 daripada 124 Pusat Tanggungjawab (PTJ) Universiti Sains Malaysia (USM) yang dinilai tahun ini memperoleh penarafan lima daun menerusi Penarafan Pejabat Hijau USM 2026, meningkat kepada 86.3 peratus berbanding 60 peratus, tahun lepas.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof Datuk Dr Azlan Amran berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara dalam pembudayaan amalan kelestarian di universiti berkenaan sejak inisiatif Pejabat Hijau diperkenalkan pada 2023.

"Tujuan utama kita memperkenalkan Pejabat Hijau adalah untuk mencari mekanisme membudayakan kelestarian dalam operasi, pekerjaan dan tadbir urus universiti.

"Kita bukan sahaja mahu memberikan pengiktirafan, tetapi juga memastikan amalan pekerjaan dan cara kita bertindak semuanya berlandaskan semangat kelestarian," katanya ketika berucap pada Majlis Penarafan Pejabat Hijau dan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) USM 2026 di Dewan Budaya USM, pada Rabu.

- Advertisement / Iklan -

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berucap pada Majlis Penarafan Pejabat Hijau dan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) USM 2026 di Dewan Budaya USM.

Majlis itu dirasmikan oleh Naib Canselor USM Prof, Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed yang turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Izzad Zalman Abdul Kader.

- Advertisement / Iklan -

Pada majlis sama, Abdul Rahman melancarkan Pelan Transformasi Kelestarian USM Lima Tahun 2026-2030 yang menggariskan hala tuju universiti dalam memperkukuh tadbir urus, operasi kampus, pendidikan, penyelidikan serta kerjasama komuniti dan industri.

Azlan berkata, peningkatan pencapaian itu turut memperlihatkan perkembangan positif seiring dengan kedudukan USM dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings yang meningkat dari tangga ke-18 pada 2024 ke kedudukan ke-14 pada 2025 dan kelima tahun ini.

Selain itu, menurut beliau, penyertaan PTJ dalam program itu juga terus meningkat daripada 95 pada 2024 kepada 120 tahun lepas dan 124 tahun ini, dengan 10 PTJ memperoleh penarafan empat daun, manakala tujuh lagi menerima tiga daun.

Beliau berkata, empat PTJ turut mencatat lonjakan ketara daripada penarafan satu daun pada 2025 kepada lima daun tahun ini, iaitu Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Desasiswa Aman Damai, Pusat Pengajian Sains Komputer serta Pusat Sukan dan Rekreasi, sekali gus menerima pengiktirafan khas menerusi Hadiah Lonjakan Lestari.

Azlan berkata, majlis tahun ini turut memperkenalkan penarafan khusus bagi Pengurusan KKP sebagai usaha memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam operasi universiti, dengan 18 daripada 111 PTJ yang dinilai menerima pengiktirafan kecemerlangan.

Sementara itu, Pusat Sejahtera Kampus Induk muncul pemenang utama Anugerah Penarafan Pejabat Hijau USM 2026 dengan hadiah RM5,000, diikuti Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kampus Induk (RM3,000) dan Pusat Pengajian Pengurusan Kampus Induk (RM2,000).

Bagi Anugerah Pengurusan KKP pula, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan meraih tempat pertama dengan hadiah RM1,500, diikuti Pusat Racun Negara Kampus Induk (RM1,000) dan Jabatan Pendaftar Kampus Kejuruteraan (RM700).

Azlan berkata, SEDA Malaysia turut menyumbang RM10,000 sebagai tajaan hadiah utama Penarafan Pejabat Hijau USM 2026.

Penilaian Pejabat Hijau USM 2026 merangkumi 44 indikator termasuk perolehan hijau, pengurusan sisa, kecekapan sumber serta penglibatan pelajar, petugas dan komuniti, manakala penilaian Pengurusan KKP dilaksanakan secara berasingan menerusi 19 indikator.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, usaha membudayakan kelestarian di USM bukan semata-mata untuk mengejar kedudukan dalam penarafan antarabangsa, sebaliknya perlu memberikan impak nyata kepada kesejahteraan warga kampus, khususnya pelajar.

"Jangan kita lihat tanam pokok sahaja, cubalah juga kita bantu anak-anak pelajar ini," katanya sambil menegaskan bahawa kelestarian turut merangkumi aspek sosial, tadbir urus dan usaha memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat peluang yang sama untuk mengubah masa depan mereka. - Bernama