FOI 2026 himpunkan idea, inovasi masa depan Malaysia

- Advertisement / Iklan -

FESTIVAL Idea Putrajaya (FOI) 2026 kembali untuk edisi ketiga pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat bagi membincangkan hala tuju negara mendepani perubahan masa depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Selasa berkata, festival bertemakan 'Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani' itu meneruskan kesinambungan penganjuran pada 2024 dan 2025 dalam usaha mendekatkan idea serta pendidikan tinggi kepada masyarakat, meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serta mengangkat budaya ilmu sebagai asas kemajuan negara.

Menurut kenyataan itu, FOI 2026 bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum diteruskan dengan program Himpunan Idea Mahasiswa Negara sebagai ruang untuk mahasiswa menyuarakan pandangan, mengetengahkan idea dan berkongsi aspirasi mengenai hala tuju serta masa depan negara.

Festival itu turut membuka ruang perbincangan di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Menteri Pendidikan Tinggi dari Filipina, Bangladesh, Kazakhstan, Indonesia, Türkiye dan Timor-Leste, selain beberapa menteri serta timbalan menteri daripada kementerian lain yang akan bertindak sebagai panelis forum dan pengisi sidang selari.

- Advertisement / Iklan -

Selari dengan tema penganjuran, FOI 2026 mengangkat empat persoalan strategik nasional berkaitan peranan kecerdasan buatan (AI), usaha menarik dan mengekalkan bakat tempatan, peranan institusi pendidikan tinggi (IPT) melahirkan pembina negara menjelang 2040 serta penggunaan inovasi bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam mendepani masyarakat menua.

Lebih 20 pengisian utama disusun menerusi tiga kerangka iaitu Explore, Challenge dan Translate, merangkumi Sidang Idea Malaysia (SIM), IdeaPulse serta persidangan dan bengkel dasar seperti ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), University Network for Research Collaboration (iUNRC) dan Environmental, Social and Governance Summit (ESG Summit), selain meja bulat integriti bersama Elsevier.

- Advertisement / Iklan -

Turut dianjurkan ialah Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI), Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0), University Social Enterprise Competition (USEC) serta Majlis Malaysia Scopus Research Star Awards.

Selain pengisian berbentuk wacana dan akademik, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai pameran dan aktiviti termasuk Wall of Ideas, World of Tunnel, Pavilion KPT, pameran industri dan penyelidikan IPT, Mini Karnival Jom Masuk Universiti serta perkhidmatan bergerak Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Pengisian lain termasuk Ideas in Action: Edutainment & Innovation @ FOI, Ideatech: Innovation Showcase dan karnival kerjaya.

Sebagai hasil utama festival, Risalah Idea Malaysia yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 agenda utama akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

Majlis penutupan festival yang menyaksikan penyerahan risalah berkenaan akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

Orang ramai dijemput mengunjungi FOI 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 19 November ini, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang di PICC.