UPM sasar jadi hab makanan dan industri halal serantau

- Advertisement / Iklan -

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) kini semakin meneguhkan langkahnya untuk menjadi institusi strategik negara dengan agenda transformasi yang jelas, memastikan universiti terus relevan dan memberi impak kepada masyarakat serta ekonomi.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari, menekankan bahawa kejayaan silam hanyalah permulaan, dan universiti mesti bergerak lebih pantas serta berani menghadapi cabaran global yang kian kompleks.

Menurut beliau, UPM bukan sekadar pusat ilmu, tetapi institusi amanah yang memikul tanggungjawab besar terhadap negara. Setiap penyelidikan dan inovasi yang dijalankan perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata.

“Universiti mesti jadi pemacu penyelesaian nasional, pembina ekonomi masa depan, dan penggerak tamadun masyarakat melalui ilmu dan inovasi,” katanya sewaktu menyampaikan amanat dalam Bengkel Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Suku Keempat UPM.

- Advertisement / Iklan -

Jailani menegaskan, tempoh tiga tahun seterusnya sehingga 2029 adalah fasa kritikal untuk menentukan hala tuju universiti.

"Walaupun UPM terkenal dengan kecemerlangan dalam bidang pertanian, sains, dan teknologi, nostalgia sahaja tidak mencukupi.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, seiring itu, UPM menekankan enam agenda transformasi utama termasuk keterjaminan makanan, pengukuhan kerjasama industri, pembangunan ekosistem halal dan bioteknologi, pengantarabangsaan, penyelidikan berimpak, pengurusan kewangan dan tadbir urus yang mantap, serta kesejahteraan warga universiti dan penglibatan alumni sebagai rakan strategik.

"Agenda ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, menekankan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan negara melalui graduan berkemahiran tinggi dan kerjasama antara akademia, industri, serta komuniti," jelas Johari.

Menjelang 2029, UPM menyasarkan menjadi peneraju keterjaminan makanan negara, hab rujukan ekosistem industri halal dan bioteknologi serantau, serta universiti berimpak global yang memberi sumbangan nyata kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat.

Amanat bertemakan “Mentransformasi Ilmu, Membina Negara Bangsa” itu menekankan bahawa setiap pengetahuan dan penyelidikan yang dihasilkan mesti diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal, berpaksikan konsep ilmu untuk masyarakat dan impak untuk negara.

Di bawah kepimpinan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, UPM yakin dengan komitmen seluruh warga universiti untuk memperkukuh kedudukannya sebagai institusi strategik negara yang memainkan peranan penting dalam membina masa depan Malaysia.