Pendidik bukan sekadar mengajar, bentuk masa depan generasi

- Advertisement / Iklan -
Zambry tegaskan sumbangan guru dan pensyarah perlu dinilai melalui impak terhadap masyarakat, bukan pencapaian akademik semata-mata

SUMBANGAN seorang pendidik tidak seharusnya dinilai melalui kejayaan akademik anak didik semata-mata, sebaliknya turut dilihat pada nilai, pemikiran dan keupayaan mereka membentuk generasi yang mampu membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, guru dan pensyarah memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan masyarakat, bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah atau dewan kuliah.

“Guru dan pensyarah mungkin tidak sentiasa menerima pengiktirafan masyarakat, namun sumbangan mereka membentuk generasi. Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada Selasa.

- Advertisement / Iklan -

Menurut Zambry, kecemerlangan pendidikan tidak boleh diukur berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan sesebuah institusi dalam penarafan antarabangsa sahaja.

Sebaliknya, impak pendidik terhadap kehidupan manusia dan masyarakat perlu menjadi ukuran penting kerana individu yang mampu membawa perubahan boleh lahir dari mana-mana institusi, termasuk sekolah di luar bandar dan pusat pendidikan komuniti.

- Advertisement / Iklan -

Justeru, beliau berharap GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya dapat berkembang sebagai platform antarabangsa bagi mengiktiraf sumbangan pendidik, mengetengahkan inovasi serta memperkukuh kerjasama pendidikan merentas negara.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, GEA 2026 menerima 472 pencalonan dari 83 negara sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian.

Katanya, pengiktirafan itu bukan sekadar menghargai pencapaian individu, malah bertujuan membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi dan memajukan bidang pendidikan.

“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.

Pada edisi kali ini, tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan dalam lapan kategori.

Prof Madya Dr Jayanthi Arasan dari Malaysia menerima Avant-Garde Teacher Award, manakala Dr Mahdi Kolahi dari Iran memenangi Eminent Education Researcher Award.

Community Outreach Award pula diberikan kepada Peter Mokaya Tabichi dari Kenya, sementara Prof Madya Dr Evania Yafie dari Indonesia menerima Esteemed Teacher Educator Award.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut diiktiraf menerusi Transforming Educational Institution Award, manakala Siti Ainulmursyida Shamsudin dari Malaysia menerima The HONOR EdTech Innovation Excellence Award, Kashmira Jaiswal dari India memenangi Inspiring Educational Leader Award, manakala The Legacy Educator Award diberikan kepada Chan Hung dari Hong Kong.

Penerima enam kategori iaitu Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan RM20,317.

Penerima The Legacy Educator Award pula membawa pulang trofi dan geran penyelidikan RM40,634.