USAHA menghubungkan penyelidikan mikrobiologi dengan pembelajaran sains di sekolah membuahkan hasil apabila Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nurul Hidayah Adenan meraih dua pengiktirafan daripada Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF).
Beliau yang bertugas di Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam memperoleh hadiah kedua Anugerah Pendidikan Sains menerusi inovasi BioClean Kit, sekali gus membawa pulang wang tunai RM4,000.
Selain itu, beliau turut menerima Geran Penyelidikan Sains dan Teknologi bernilai RM15,000 bagi menjalankan kajian penggunaan mikroorganisma dalam rawatan air sisa industri tekstil.
Kedua-dua pengiktirafan itu disampaikan sempena Majlis Penyampaian Hadiah MTSF Ke-33 di Hotel InterContinental Kuala Lumpur pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.
BioClean Kit dekatkan pelajar dengan sains alam sekitar
BioClean Kit dibangunkan sebagai modul pengajaran Biologi Tingkatan Lima bagi membantu pelajar memahami konsep bioremediasi, iaitu penggunaan organisma hidup untuk memulihkan persekitaran tercemar.
Menerusi kit itu, pelajar berpeluang menjalankan eksperimen menggunakan mikroorganisma yang diperangkap dalam manik alginat, selain memerhatikan perubahan warna larutan simulasi air tercemar.
Pendekatan praktikal berkenaan membolehkan pelajar memahami aplikasi bioteknologi serta menghubungkan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan isu pencemaran alam sekitar.
Bagi menyokong aktiviti pembelajaran, BioClean Kit turut dilengkapi bahan eksperimen, buku aktiviti, panduan guru dan video demonstrasi yang boleh diakses menerusi kod QR.
Menurut Nurul Hidayah, pengiktirafan itu menjadi dorongan untuk beliau terus menghasilkan inovasi pendidikan yang dapat merapatkan hubungan antara penyelidikan universiti dengan pembelajaran di sekolah.
“Melalui BioClean Kit, saya berharap pelajar dapat meneroka konsep bioremediasi secara amali, sekali gus memupuk minat terhadap STEM, pemikiran saintifik dan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar,” katanya.
Inovasi berkenaan dibangunkan dengan bantuan teknikal pelajar sarjana UiTM, Siti Sara Ramlan, manakala pelaksanaan modul itu di sekolah masih pada peringkat perancangan, termasuk usaha meneroka kerjasama dengan sekolah menengah di Selangor.
Teroka potensi mikroorganisma rawat air sisa tekstil
Sementara itu, geran penyelidikan bernilai RM15,000 yang diterima membolehkan Nurul Hidayah meneroka potensi aktinobakteria, sejenis mikroorganisma, untuk menyingkirkan pewarna sintetik daripada air sisa industri tekstil dan batik.
Kajian itu memberi tumpuan kepada Remazol Brilliant Blue R (RBBR), iaitu pewarna yang mempunyai struktur kimia stabil dan sukar diuraikan secara semula jadi.
Penyelidikan berkenaan akan menilai dua mekanisme penyingkiran pewarna, iaitu biodegradasi yang melibatkan penguraian bahan oleh mikroorganisma serta biosorpsi apabila pewarna terjerap pada permukaan sel.
Kajian yang dijadualkan berlangsung dari Januari hingga Disember 2027 itu turut menggunakan sampel air sisa industri sebenar bagi meneliti potensi kaedah rawatan berasaskan proses biologi.
Penyelidikan itu dilaksanakan dengan kerjasama Dr Nurul Shamsinah Mohd Suhami dari Universiti Malaya, selain melibatkan pelajar sarjana UiTM, Muhammad Akmal Arif Rizalmy.
Walaupun kedua-dua pengiktirafan melibatkan bidang berbeza, BioClean Kit dan penyelidikan rawatan air sisa itu berkongsi asas ilmu mikrobiologi dengan satu pendekatan memperkenalkan sains alam sekitar kepada pelajar sekolah, manakala satu lagi meneroka aplikasinya dalam menangani pencemaran industri.
Kedua-duanya memperlihatkan potensi ilmu penyelidikan universiti untuk dimanfaatkan dalam bidang pendidikan dan pengurusan alam sekitar.