Akta Satu Pendidikan Tinggi lindungi kebebasan akademik – Adam Adli

- Advertisement / Iklan -
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen.

AKTA Satu Pendidikan Tinggi yang sedang dirangka bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30) bakal menyediakan status khusus bagi melindungi kebebasan ahli akademik, selain memperkukuh autonomi universiti dalam aspek pentadbiran dan operasi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, perlindungan itu bagi memastikan peranan ahli akademik tidak hanya tertakluk kepada hubungan asas antara majikan dan pekerja, sebaliknya mendapat pengiktirafan sewajarnya dalam kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara.

"Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) ini khususnya akan menyediakan satu status khusus yang melindungi kebebasan ahli akademik agar peranan mereka melangkaui sekadar hubungan asas majikan dan pekerja.

"Ini sebabnya akta seperti Akta 605 (Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000) turut dimasukkan sebagai satu daripada tujuh akta yang sedang dikaji dan boleh dirangkum di bawah OHEA dan kita teliti di mana permasalahannya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

- Advertisement / Iklan -

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai tahap autonomi universiti, perlindungan pensyarah daripada tekanan pentadbiran serta mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa pengurusan universiti di bawah OHEA.

Adam Adli berkata, kementerian turut meneliti kemungkinan mewujudkan majlis atau panel bebas bagi menyemak aspek pelantikan, keputusan pentadbiran serta pengoperasian universiti termasuk perkara berkaitan autonomi dan akademik.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, mekanisme baharu yang sedang diteliti itu juga merangkumi pengurusan kakitangan, penawaran kursus dan program serta jalinan kerjasama strategik universiti bagi memenuhi standard kebebasan akademik yang ingin dicapai.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) sama ada pemansuhan AUKU mewujudkan kelompangan perundangan atau ketidakpastian dalam pentadbiran universiti, Adam Adli berkata pemansuhan berkenaan bakal dilaksanakan secara terancang dan berfasa.

Beliau berkata, langkah berkenaan bagi mengelakkan kelompangan perundangan yang boleh menjejaskan tadbir urus serta pengoperasian universiti awam.

Beliau berkata, AUKU yang menjadi antara asas utama perundangan pendidikan tinggi negara sejak lima dekad lepas mengandungi 44 seksyen, dengan 32 daripadanya berkaitan tadbir urus termasuk tanggungjawab menteri, ketua pengarah, penubuhan dan perlembagaan universiti.

"...hanya tujuh seksyen atau 16 peratus daripada keseluruhan peruntukan akta itu berkaitan mahasiswa, aktiviti persatuan, tanggungan dan tatatertib, manakala satu seksyen menyentuh kakitangan serta empat seksyen berkaitan perkara lain," katanya.

Menjawab soalan tambahan bekas Perdana Menteri itu mengenai jaminan kebebasan mahasiswa untuk bersuara, mengkritik dasar kerajaan dan menyatakan perbezaan pandangan politik serta autonomi sebenar universiti, Adam Adli berkata kerangka baharu itu akan memberi penekanan kepada hak mahasiswa dan kebebasan akademik.

"Secara umumnya, kita juga pastikan bahawa ada jaminan daripada kerajaan, kerangka baharu ini memang bertujuan untuk mengukuhkan autonomi Universiti, kebebasan akademik serta hak mahasiswa dan perkara ini adalah pertimbangan yang mustahak," katanya.

Beliau berkata, proses konsultasi yang melibatkan mahasiswa, ahli akademik serta pakar perundangan juga sedang dijalankan dan akan diperluas kepada Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan akta baharu itu tidak mengulangi sekatan terhadap kebebasan mahasiswa dan universiti.

Adam Adli berkata, kementerian telah mengambil langkah segera berkuat kuasa 27 Ogos lepas dengan menghentikan semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, pernyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman di semua universiti awam. - Bernama