SERAMAI 22 mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diberi kepercayaan menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2026/2027 dengan tanggungjawab mengangkat suara serta memperjuangkan kepentingan warga kampus.
Pelantikan menerusi Majlis Watikah Pelantikan MPP UMT yang berlangsung pada Isnin itu disempurnakan Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad sebagai simbolik pengiktirafan terhadap amanah yang bakal digalas barisan kepimpinan mahasiswa berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 21 mahasiswa dipilih menerusi Pilihan Raya Kampus (PRK), manakala seorang lagi dilantik sebagai MPP Lantikan bagi mewakili skop inklusif, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan mahasiswa orang kurang upaya (OKU).
Dalam ucapannya, Suriyani berharap barisan MPP dapat berperanan sebagai pengantara (mediator) yang berkesan antara pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa, terutama dalam memastikan pandangan, aspirasi dan isu yang dibangkitkan dapat disampaikan secara konstruktif.
Menurut beliau, MPP bukan sekadar badan perwakilan, sebaliknya perlu menjadi rakan strategik universiti dalam membina komunikasi dua hala yang baik, selain membantu mencari penyelesaian terhadap isu membabitkan kepentingan mahasiswa.
Sementara itu, pelajar Tahun Tiga Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim), Ryan Shaqel Resduan yang dilantik sebagai Yang Dipertua MPP UMT sesi 2026/2027 berkata, beliau bersama seluruh barisan MPP komited mengangkat suara serta memperjuangkan kepentingan mahasiswa.
Beliau berkata, amanah diberikan akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan setiap mahasiswa mendapat ruang untuk menyuarakan pandangan tanpa mengira latar belakang dan bidang pengajian.
“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan suara setiap mahasiswa didengari tanpa mengira latar belakang dan bidang pengajian. Kami juga komited untuk memberikan yang terbaik serta menjadi barisan kepimpinan yang mampu membawa perubahan positif kepada komuniti mahasiswa UMT,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, selain pegawai utama dan pegawai kanan universiti.