Tartaruga, Wildcats HC kuasai gelanggang bola baling UMT

- Advertisement / Iklan -

PASUKAN Tartaruga dan Wildcats HC muncul juara kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan UMT Open Handball Championship 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan dan Rekreasi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pada Ahad.

Kejohanan selama tiga hari bermula 30 Oktober itu menghimpunkan lebih 400 pemain menerusi penyertaan 28 pasukan, membabitkan 16 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita.

Dalam kategori lelaki, Tartaruga muncul juara, diikuti AURA7 di tempat kedua, IPGM ketiga dan SSTBN BOYS keempat.

- Advertisement / Iklan -

Bagi kategori wanita, Wildcats HC merangkul gelaran juara, manakala Titan Ladies menduduki tempat kedua, diikuti Ahaganik HC di tempat ketiga dan Redlions Girls di tempat keempat.

- Advertisement / Iklan -

Kejohanan anjuran UMT Scorpions Handball Club itu turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Selain persaingan di gelanggang, kejohanan itu turut menjadi platform pembangunan kepimpinan mahasiswa apabila pengurusan program berskala besar berkenaan diterajui pelajar UMT.

Pengarah Program yang juga pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Kewangan UMT, Nur Liyana Aqilah Mohamad Asri berkata, tanggungjawab mengendalikan kejohanan yang melibatkan lebih 400 pemain itu memberikan pengalaman bermakna dalam menguji keupayaannya sebagai pemimpin mahasiswa.

Menurutnya, pelbagai cabaran perlu dihadapi sepanjang proses merancang dan melaksanakan kejohanan, khususnya membabitkan pengurusan organisasi, penyelarasan jawatankuasa serta kelancaran pertandingan.

“Alhamdulillah, walaupun terdapat pelbagai cabaran dan perkara di luar jangkaan sepanjang mengendalikan kejohanan ini, hasil kerjasama, komitmen dan usaha seluruh jawatankuasa pelaksana serta sokongan daripada semua pihak, program ini berjaya dilaksanakan dengan lancar sehingga ke penghujungnya.

“Pengalaman ini benar-benar mengajar saya bahawa mengendalikan program berskala besar bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, setiap cabaran yang dihadapi memberikan pengalaman dan pembelajaran baharu yang pastinya akan menjadi bekalan berguna untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran kejohanan itu bukan bergantung kepada keupayaan individu semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama seluruh jawatankuasa pelaksana, sukarelawan serta sokongan rakan strategik.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Izani Mohd Zain.

Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menyediakan platform kepada atlet untuk menguji keupayaan masing-masing, malah memberi peluang kepada mahasiswa mengasah kemahiran pengurusan, kerja berpasukan dan kepimpinan menerusi pengalaman mengendalikan acara sukan berskala besar.