SAMBUTAN untuk menjadi sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor memang luar biasa! Setakat ini, kira-kira 30,000 orang sudah mendaftar daripada sasaran asal cuma 5,000 orang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, yang paling menarik ialah majoriti sukarelawan ni adalah anak muda.
“Mereka memang excited nak jadi sebahagian daripada temasya sukan terbesar negara.
"Paling memberangsangkan ialah penyertaan sukarelawan, terutamanya anak-anak muda. Sebenarnya majoriti anak muda mahu menjadi sukarelawan dalam SUKMA nanti," kata Amirudin sambil ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Penggerak Belia Selangor dan mahasiswa.
Amirudin berkata, pihak penganjur akan cuba menempatkan seramai mungkin sukarelawan supaya temasya itu dapat berjalan lebih baik, teratur dan tersusun dengan bantuan mereka, selain latihan kepada sukarelawan akan dimulakan bagi memastikan mereka benar-benar bersedia.
Mengenai persiapan, beliau berkata, keseluruhan kesiapsiagaan SUKMA di Selangor kini telah mencapai lebih 80 peratus, manakala larian obor dijangka bermula pada Mei depan.
Beliau juga berkata, projek naik taraf Pusat Akuatik yang menelan kos kira-kira RM40 juta kini berada pada tahap antara 30 hingga 40 peratus dan disasarkan siap menjelang Jun, lebih kurang dua bulan sebelum temasya berlangsung.