PELAJAR Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Rizarina Karman membuktikan penguasaan ilmu kewangan apabila muncul juara National Bijak Wang Challenge di Central i-City Mall, sekali gus dinobatkan sebagai Duta (Ambassador) pertandingan itu.
Rizarina, pelajar Semester 7 Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB), membawa pulang wang tunai RM5,000, piala kejuaraan serta selempang Ambassador National Bijak Wang Challenge.
Lebih membanggakan, beliau turut menyumbangkan RM5,000 kepada UUM bagi menyokong penganjuran pelbagai aktiviti dan program pemerkasaan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa pada masa hadapan.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila Rizarina menjadi satu-satunya wakil wanita di pentas akhir yang menerima hadiah kemenangan daripada Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato' Sri Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Perjalanan Rizarina menuju kejuaraan bukan mudah apabila beliau berdepan detik mencemaskan pada pusingan pertama, selepas markahnya ditolak sebanyak dua kali kerana menekan butang loceng (buzzer) terlalu awal.
Bagaimanapun, cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit pada pusingan kedua menerusi ujian keserasian dan “telepati” minda bersama rakannya, Mizan Qistina Noh.
Dalam cabaran itu, Rizarina berjaya meneka 12 daripada 15 perkataan yang disampaikan Mizan Qistina dengan tepat walaupun mata dan telinganya ditutup rapat.
Sepanjang pertandingan, Rizarina turut menerima sokongan moral daripada rakan pengiringnya, Nur Ellya Natasya Mohamad Gahazali, yang sentiasa menenangkan dan memberikan keyakinan kepadanya dari awal hingga tamat saingan.
Kejayaan delegasi UUM itu turut mendapat sokongan Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor, serta pensyarah IBS, Dr. Asma Nurul ‘Aqilah Mahpuz, yang hadir memberikan sokongan kepada peserta.
Kejayaan Rizarina membuktikan keupayaan mahasiswa UUM menguasai literasi kewangan dan bersaing di peringkat kebangsaan, selain menjadi inspirasi kepada warga universiti untuk terus memperkukuh ilmu, ketekunan dan keyakinan diri.