KEBAJIKAN komuniti Orang Asli dan pendidikan anak-anak menjadi fokus mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Uplift Together.
Program anjuran Kelab Volunteer Team KSHAS itu berlangsung di Dewan Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata, dengan pelbagai inisiatif bagi membantu memenuhi keperluan harian penduduk serta menyokong pendidikan kanak-kanak Orang Asli.
Pengarah Program, Tasha Regina Mazhisham berkata, program itu bertujuan meringankan beban harian komuniti setempat melalui penyerahan kit barangan keperluan asas, selain menyokong akses pendidikan anak-anak Orang Asli menerusi sumbangan set alat tulis.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu memenuhi keperluan harian dan pendidikan, malah menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2, iaitu Sifar Kelaparan (Zero Hunger), dan SDG 4, iaitu Pendidikan Berkualiti (Quality Education).
Antara pengisian utama program ialah penyampaian kit barangan keperluan asas kepada penduduk sekitar bagi membantu memenuhi keperluan harian mereka.
Selain itu, sumbangan set alat tulis turut disampaikan kepada kanak-kanak Orang Asli bagi menyokong pembelajaran dan menggalakkan akses kepada pendidikan asas.
Mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai program itu turut berinteraksi dengan penduduk setempat, sekali gus memberi peluang kepada mereka memahami kehidupan komuniti Orang Asli secara langsung serta merapatkan hubungan dengan masyarakat.
Penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti khidmat masyarakat itu turut memupuk nilai kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.