Mahasiswa UNITEN turun padang, jaga alam sama-sama!

- Advertisement / Iklan -

MAHASISWA Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah mengambil inisiatif memelihara kelestarian alam sekitar menerusi penanaman semula pokok dan aktiviti mengutip sampah di Cameron Highlands melalui program Roots of Change, baru-baru ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran UNITEN Accounting Club (UNAC) itu menggabungkan aktiviti pemuliharaan alam, rekreasi dan kesedaran sosial dengan menerapkan elemen Environmental, Social and Governance (ESG) yang semakin penting dalam era globalisasi.

Pengarah program, Tasha Regina Mazhisham berkata, program itu dirangka bagi meningkatkan kesedaran peserta terhadap pemeliharaan alam sekitar menerusi aktiviti penanaman semula pokok atau reforestasi serta pembersihan kawasan semula jadi.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, aktiviti pendakian dan penanaman pokok bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan konsep ESG serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, dan SDG 15, iaitu Kehidupan di Darat.

Antara aktiviti utama program itu ialah penanaman semula pokok dengan kerjasama pertubuhan Regional Environmental Awareness Cameron Highlands (REACH) bagi membantu memulihkan ekosistem dan memelihara kawasan hijau.

- Advertisement / Iklan -

Peserta turut menyertai aktiviti pendakian sambil mengutip sampah di sepanjang laluan, selain melakukan pendakian singkat ke kawasan pemandangan (viewpoint) Gunung Brinchang.

Gabungan aktiviti berkenaan membolehkan peserta menjalankan aktiviti rekreasi fizikal sambil menyumbang secara langsung kepada usaha pemeliharaan alam semula jadi.

Penglibatan aktif mahasiswa dalam program itu turut memberi pendedahan praktikal mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar, di samping menyumbang kepada pemulihan ekosistem hijau.

Pengalaman berkenaan juga membantu memupuk semangat kerja berpasukan, kepimpinan dan nilai kesukarelawanan dalam kalangan peserta.