AKTIVITI mudah seperti membuka penutup tangki minyak kenderaan boleh menjadi cabaran bagi individu yang mempunyai kekuatan genggaman tangan terhad.
Menyedari keperluan itu, empat pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) menghasilkan inovasi Fuel Cap Opener for People with Limited Hand Grip, iaitu alat pembuka penutup tangki bahan api yang direka bagi memudahkan urusan harian golongan berkenaan.
Produk itu diserahkan kepada Unit Terapi Cara Kerja, Hospital Taiping untuk digunakan dalam sesi terapi serta membantu pesakit yang memerlukan.
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, inovasi berkenaan membuktikan keupayaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menghasilkan penyelesaian praktikal berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
“PUO menggalakkan pelajar menghasilkan inovasi berasaskan keperluan sebenar pengguna. Kerjasama dengan Hospital Taiping membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu kejuruteraan bagi menghasilkan produk yang berpotensi meningkatkan kualiti hidup dan keberdikarian individu yang memerlukan,” katanya.
Ketua Unit Terapi Cara Kerja Hospital Taiping merangkap Ketua Bidang Negeri Perak Profesion Terapi Cara Kerja, Zuraidah Rambli berkata, kerjasama itu berpotensi membantu meningkatkan keupayaan individu yang mempunyai keterbatasan genggaman tangan untuk menjalankan aktiviti harian dengan lebih berdikari.
“Produk ini akan digunakan dalam sesi terapi, manakala sebahagiannya akan diberikan terus kepada pesakit yang memerlukan bagi memudahkan aktiviti harian mereka,” katanya.
Inovasi berkenaan dibangunkan oleh Nur Adriana Iman Mohd Harman, Siti Zubaidah Abdullah, R. Chanjey dan R. Sutharsanan yang merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal PUO di bawah bimbingan Dr Nur Raihana Sukri.
Projek itu turut membuktikan potensinya apabila meraih Johan Kategori Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Johan Inovasi pada MEDSPEC JKM 2026, selain Johan Kategori Teknikal pada Applied Project Excellence Exhibition (APEX) PUO 2026.
Selain pengiktirafan tersebut, projek berkenaan turut menghasilkan dua kertas penyelidikan serta satu harta intelek dalam bentuk hak cipta.
Inisiatif itu memperlihatkan bagaimana ilmu kejuruteraan dan inovasi TVET boleh diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan sokongan untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih berdikari.