PENGUASAAN ilmu muzik, kualiti vokal dan identiti muzik tempatan perlu menjadi keutamaan dalam usaha mencungkil bakat penyanyi baharu, bukannya sekadar mengejar kemenangan dalam pertandingan nyanyian.
Penyanyi dan pemuzik, Azmee Abdul Manap atau lebih dikenali sebagai Daqmie berkata, pertandingan nyanyian di peringkat universiti perlu dijadikan platform pembelajaran bagi membantu mahasiswa mengenal pasti kelemahan, memperbaiki kemahiran dan membina keyakinan diri.
Menurutnya, menang atau kalah bukan ukuran utama kejayaan seseorang peserta, sebaliknya pemahaman terhadap ilmu muzik menjadi asas penting untuk mengembangkan bakat secara berterusan.
“Menang atau kalah itu adalah proses. Jadi, apa yang penting ialah bagaimana kita memahami ilmu. Semua kerja mesti kena faham ilmu,” katanya ketika ditemui pada pertandingan Suara Nusantara sempena FES26, anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Daqmie berkata, pertandingan itu menerima kira-kira 100 penyertaan sebelum melalui proses saringan berdasarkan rakaman video muzik dengan hanya 10 peserta terpilih mara ke peringkat akhir untuk merebut lima kedudukan terbaik.
Beliau menjelaskan, penilaian peserta bukan sahaja tertumpu kepada kualiti vokal, malah turut mengambil kira identiti muzik Melayu atau Malaysia serta penampilan ketika membuat persembahan di atas pentas.
“Pertama sekali, kalau nak nyanyi suara kena sedap. Itu kriteria pertama. Yang kedua, mesti ada nuansa muzik Melayu atau nuansa untuk bangsa Malaysia.
“Yang ketiga ialah pemakaian. Dalam muzik, kita perlu melihat suara, fesyen dan juga persembahan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar peserta tidak dinilai menggunakan penanda aras penggiat profesional kerana mereka masih berada dalam proses pembelajaran dan memerlukan ruang untuk mengembangkan potensi masing-masing.
Katanya, universiti seharusnya menjadi ruang selamat untuk mahasiswa mencuba sesuatu yang baharu, melakukan kesilapan dan memperbaiki kelemahan berdasarkan pengalaman sebenar.
“Universiti adalah tempat untuk kita belajar kesilapan, untuk membaiki kesilapan. Kesilapan akan berlaku dan kita baiki pada masa akan datang,” katanya.
Berpengalaman dalam industri muzik sejak 1989, Daqmie mempunyai kepakaran dalam bidang penerbitan muzik, penyusunan muzik, pengarahan muzik dan latihan vokal. Beliau turut terlibat dalam penerbitan muzik untuk beberapa artis dan kumpulan.
Dalam masa sama, beliau kini melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di SCIMPA, UUM, sebagai usaha memperkukuh pengetahuan dan kepakarannya dalam bidang muzik.
Mengulas mengenai pembangunan bakat mahasiswa, Daqmie berkata penganjuran bengkel ilmu perlu diperkasakan supaya peserta bukan sahaja memperoleh pengalaman bertanding, malah memahami teknik vokal, asas muzik dan kaedah persembahan yang betul.
Beliau turut berharap industri kreatif Malaysia terus berkembang seiring dengan peranan institusi pendidikan dalam melahirkan generasi baharu yang berpengetahuan serta mempunyai identiti muzik tersendiri.
“Insya-Allah, harapan saya muzik Malaysia terus maju dan Creative Industry Management terus maju, terutama sekolah saya, SCIMPA,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SCIMPA sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-10 dan berharap institusi itu terus menjadi platform pendidikan serta pembangunan bakat dalam industri kreatif dan seni persembahan.
Sementara itu, juara pertandingan Suara Nusantara, Nurfirzanah Nazaruddin, bersama Nur Fasihah Ibrahim yang menduduki tempat kedua dan Alma Safiyyah Khairuddin di tempat ketiga, membuktikan pertandingan seumpama itu turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi dalam bidang nyanyian.
Nur Fasihah berkata, persediaannya menjelang pertandingan lebih tertumpu kepada penjagaan suara dan latihan kendiri kerana komitmen terhadap program lain mengehadkan masa untuk menjalani latihan vokal secara khusus.
“Dari segi persediaan, saya lebih kepada mungkin pantang ais, humming, mulut dan sebagainya,” katanya.
Beliau yang tidak terikat dengan mana-mana kelab muzik berkata, terbuka untuk menyertai program nyanyian atau tarian pada masa akan datang, selain mahu mencuba genre muzik berbeza seperti rock, balada, R&B dan pop.
Katanya, penganjuran pertandingan seperti itu diharap dapat diperluas bagi mencungkil bakat baharu dan membantu mahasiswa membina keyakinan diri.
Bagi Alma Safiyyah yang mula menceburi bidang nyanyian sejak di bangku sekolah, penyertaan dalam pertandingan itu menjadi peluang untuk menguji kemampuan diri dan mengembangkan minatnya dalam bidang seni suara.
Beliau berkata persediaan dilakukan selama kira-kira seminggu dengan memanfaatkan latihan nasyid yang disertainya sebagai persiapan untuk pertandingan berkenaan.
“Saya memang dah mencaburi bidang nyanyi ni daripada tingkatan empat lagi. Jadi, masuknya Suara Nusantara ni, saya macam nak cuba,” katanya.
Alma turut merancang untuk memberikan lebih tumpuan kepada bidang nyanyian dan pengacaraan majlis pada semester akan datang bagi membuka peluang menyertai lebih banyak program serta persembahan.
Pertandingan Suara Nusantara bukan sahaja menjadi medan persaingan untuk mahasiswa menampilkan kebolehan masing-masing, malah berperanan sebagai ruang pembelajaran bagi membina keyakinan, mengasah kemahiran dan menghargai identiti muzik tempatan.