Sinar Varsity cungkil Hidden Talent di FEAS26!

- Advertisement / Iklan -
Pengunjung yang hadir di booth Sinar Varsity.

SINAR VARSITY terus memperkasa bakat mahasiswa menerusi penganjuran dua pertandingan interaktif, Next Host Up! Serlahkan Bakat, Rebut Spotlight! dan #OOTDSV: Fit Check, SV Check! bersempena Festival Apresiasi Seni 2026 (FEAS26) yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Kedua-dua pertandingan itu menjadi platform kepada mahasiswa untuk mencuba pengalaman baharu, mengetengahkan kreativiti serta mengembangkan potensi diri dalam bidang pengacaraan dan penghasilan kandungan visual.

Pengunjung yang hadir di booth Sinar Varsity.

Menerusi pertandingan Next Host Up!, Aizureen Husna Ahmad Zamry dari School of Economics, Finance and Banking dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama, Putri Qarisha Alesya Abdullah di tempat kedua, manakala Mohamad Faris Arshad Muhammad Rosman meraih tempat ketiga.

- Advertisement / Iklan -

Aizureen berkata, beliau tidak menyangka percubaannya menyertai pertandingan itu membuahkan kejayaan, memandangkan penyertaannya pada awalnya sekadar untuk mencuba.

“Perasaan saya terkejut sebab saya memang tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk menyertai pertandingan ini. Saya hanya mahu mencuba, tetapi Alhamdulillah, rupanya saya diumumkan sebagai pemenang,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Mengulas pengalamannya dalam bidang pengacaraan, Aizureen memaklumkan bahawa beliau tidak pernah menyertai program pengacaraan secara formal ketika di sekolah, namun pernah menjadi pengacara majlis ketika mengikuti pengajian asasi.

Beliau berharap kemenangan itu dapat menjadi titik permulaan untuk lebih aktif menyertai program pengacaraan di universiti, sekali gus mengasah bakat dan meningkatkan keyakinan diri.

“Harapan saya, mungkin selepas ini saya akan lebih banyak menyertai program-program pengacaraan untuk mencungkil lagi bakat saya supaya saya boleh lebih menyerlah di universiti,” katanya.

Berkongsi pandangan mengenai penjagaan suara, Aizureen menjelaskan bahawa beliau cuba menggunakan teknik suara daripada bahagian perut ketika bercakap walaupun tidak mempunyai petua khusus berkaitan penjagaan suara.

Beliau turut berharap agar pihak universiti terus menganjurkan program seumpama itu bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk mengetengahkan bakat masing-masing dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kampus.

Sementara itu, Mohamad Faris Arshad Muhammad Rosman pula berkata, penyertaannya bermula selepas beliau mengunjungi reruai Sinar Varsity dan mendapat maklumat mengenai pertandingan tersebut.

Menurutnya, beliau menyertai pertandingan berkenaan sekadar untuk mencuba sesuatu yang baharu khususnya dalam bidang wawancara.

“Sebenarnya saya suka-suka sahaja. Saya ingin mencuba sesuatu yang baharu. Sebab itulah saya menyertai bidang wawancara ini,” katanya.

Pengunjung yang hadir di booth Sinar Varsity.

Dalam pertandingan #OOTDSV: Fit Check, SV Check!, Nur Husnina Rusydina Khairi turut mencuri perhatian apabila berjaya meraih kemenangan walaupun pada awalnya hanya berniat untuk mencuba.

Nur Husnina berkata, beliau tidak menyangka penyertaannya akan membuahkan hasil, namun pengalaman serta minatnya dalam bidang berkaitan filem dan fotografi sedikit sebanyak membantunya menghasilkan kandungan visual.

“Sebenarnya saya tidak sangka pun sebab saya nak mencuba sahaja, tetapi tak sangka dapat menang,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah terbiasa mengambil gambar pemandangan dan menghasilkan visual menerusi penglibatannya dalam bidang pengajian berkaitan filem, sekali gus memberinya pendedahan terhadap aspek fotografi.

Nur Husnina turut memaklumkan bahawa beliau mengetahui pertandingan itu selepas mengunjungi reruai Sinar Varsity dan tertarik untuk menyertainya.

Beliau berharap agar Sinar Varsity dapat meneruskan penganjuran program seumpama itu di universiti lain bagi memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa mengembangkan bakat serta kreativiti masing-masing.

Dalam pada itu, seorang peserta yang memperkenalkan dirinya sebagai Alis Suraya Shaharim turut berkongsi keterujaannya terhadap program berkenaan. Beliau menjelaskan bahawa iklan pertandingan tersebut menarik perhatiannya, selain mendapat inspirasi daripada kandungan dan artikel yang diketengahkan menerusi program The Campus.

Menurut Suraya, kandungan yang diterbitkan serta pengaruh program tersebut menjadi antara inspirasi kepada idea gambar yang dikongsikannya dalam pertandingan berkenaan.

Beliau berharap agar Sinar Varsity terus menghasilkan kandungan yang positif dan relevan dengan kehidupan mahasiswa di kampus.

Secara keseluruhannya, penyertaan mahasiswa dalam kedua-dua pertandingan itu memperlihatkan bagaimana platform media kampus mampu menjadi ruang untuk mencungkil bakat baharu, membina keyakinan diri dan menggalakkan mahasiswa mencuba bidang di luar kebiasaan mereka.

Penganjuran Next Host Up! dan #OOTDSV: Fit Check, SV Check! sempena FEAS26 bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk menyerlahkan potensi masing-masing, malah membuka ruang kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti universiti.